Nursafiy aktif selam skuba, semangat meneroka keindahan hidupan laut dalam

Iklan
safiy

Setiap kali tibanya hujung minggu dan cuti persekolahan, Nursafiy Syazwi Azaham, 17, sering menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti selam skuba di pulau-pulau kegemarannya.

Iklan
Iklan

Minat pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, Johor, dalam aktiviti lasak ini didorong oleh ajakan abangnya, Muhammad Aqhar Aqeel Azaham, 18.

Iklan

Lebih mesra disapa Nursafiy, anak kedua daripada lima beradik itu sudah berkecimpung dalam selam skuba sejak umurnya 12 tahun.

Iklan

Namun disebabkan perlu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Nursafiy betul-betul serius dalam riadah tersebut ketika berada di Tingkatan Satu.

"Saya dapat tahu mengenai aktiviti ini daripada abang sebab dia yang menyertainya terlebih dahulu.

"Selepas mendapati ia menyeronokkan, dia mengajak saya untuk turut serta kerana sudah bertemu dengan jurulatih profesional.

[caption id="attachment_43165" width="561"] Nursafiy gembira kerana sepanjang mendalami sukan rekreasi selam skuba, dia telah banyak melihat keindahan alam semula jadi di dasar laut.[/caption]

"Saya mengambil keputusan untuk menyertai selam skuba ini sebab yakin ia

sukan untuk semua, sesuai untuk pelbagai peringkat umur dan juga jantina,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, sebelum melakukan aktiviti selam skuba di laut, Nursafiy terlebih dahulu membiasakan diri dengan berlatih berenang di kolam renang.

"Seawal umur enam tahun saya sudah mula didedahkan dengan aktiviti renang dan ini merupakan asas kepada sukan rekreasi ini.

"Tidak dinafikan, di peringkat awal perasaan takut itu pastinya ada, tetapi

lama-kelamaan saya dapat membiasakan

diri.

"Malah, ia mula menimbulkan semangat ingin tahu dalam diri untuk meneroka hidupan laut dengan lebih mendalam,” jelasnya yang mempunyai banyak lesen selam skuba yang dikeluarkan oleh Professional Association of Diving Instructors (PADI) .

Antaranya Open Water Diver, Advanced Open Water, Rescue Diver, Underwater Navigator Specialty, Night Diver Specialty dan Peak Performance Buoyancy Specialty.

Menurutnya, lesen-lesen itu diperoleh ketika berada di Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat di mana untuk mendapatkannya perlu menjalani kursus terlebih dahulu.

"Sebelum memperoleh lesen, saya perlu menduduki kursus yang ditetapkan dengan kadar yuran yang bersesuaian dengan peringkat lesen yang ingin kita perolehi.

"Ibu dan bapa sentiasa menyokong apa yang saya dan adik beradik lain lakukan dan pada pendapat saya, tiada masalah untuk meneruskan hobi ini selagi kita tahu mengimbanginya dengan pelajaran.

"Kita juga perlu sentiasa peka dan berhati-hati ketika melakukan riadah ini kerana selam skuba merupakan antara aktiviti yang berisiko tinggi,” katanya yang pernah hilang ditelan pusaran air ketika melakukan aktiviti selam skuba di kepulauan Acheh, Indonesia.

Menceritakan dengan lebih lanjut, tuturnya, tragedi ngeri tersebut berlaku ketika dia berada di Tingkatan Dua.

"Ketika kejadian, saya dapat mencapai batu, namun disebabkan arus terlalu kuat batu yang dipegang pun boleh tercabut.

"Keadaan tersebut menyebabkan saya langsung tidak dapat mengawal diri dan Alhamdulillah dive master menyedarinya dan terus menyelamatkan saya,” ujarnya

yang mendapat pengiktirafan Junior

Master Scuba ketika berusia 15 tahun.

Anugerah itu dikeluarkan oleh PADI yang beribu pejabat di Australia dan ia berdasarkan pencapaian Nursafiy yang menjadi remaja perempuan pertama Malaysia mencatatkan rekod kedalaman selam skuba di Pulau Sipadan, Sabah sehingga mencecah 42.9 meter.

"Saya mengambil masa lebih kurang 15 hingga 20 minit untuk sampai pada kedalaman tersebut,” katanya.

Pengakap laut

Disebabkan minatnya yang mendalam terhadap laut dan keindahan alam, Nursafiy memilih untuk menyertai pengakap laut sebagai kelab unit beruniform di sekolah.

"Alasan kukuh kenapa saya memilih kelab pengakap laut kerana saya sememangnya seorang penyelam skuba.

"Melalui kelab ini, saya dapat menyertai pelbagai aktiviti seperti perkhemahan

yang berkaitan dengan laut dan juga berkayak dan snorkeling,” ujarnya.

Ditanya mengenai hala tujunya dalam selam skuba, Nursafiy memberitahu dia ingin menjadi seorang jurulatih apabila menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti, saya bercadang untuk menyambung diploma perakaunan kerana bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah perakaunan.

"Jadi untuk kerjaya kedua pula, saya ingin menjadi seorang jurulatih selam skuba ketika menuntut di IPT kelak.

"Dari situ saya akan mencari duit poket sendiri dengan menawarkan khidmat kejurulatihan kepada mereka yang berminat dengan aktiviti selam skuba berbekalkan kepakaran yang

ada,” tuturnya sebelum mengakhiri perbualan.

**

INFO

Senarai pulau yang pernah dikunjungi Nursafiy

1. Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang

2. Talang, Pulau Tioman, Pahang

3. Kampung Genting, Pulau Tioman, Pahang

4. Pulau Perhentian, Terengganu

5. Pulau Sipadan, Sabah

6. Kepulauan Acheh, Indonesia

Artikel berkaitan

Kenali 3 guru aktif di media sosial dengan pengikut yang ramai

UPM galak mahasiswa sertai kelas asas selam skuba 

Tak sangka ada sawah padi dalam kawasan sekolah. Memang hebatlah SK Batu Laut


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok