Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, sekali lagi mengharumkan nama negara menerusi salah seorang pelajarnya, Siti Nur Hanisah Omar Hashim apabila dinobatkan juara pertandingan menulis haiku di festival seni, Argentine Gathering anjuran Monolit Festivals, baru-baru ini.
Nur Hanisah merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah menyertai festival seni yang berpangkalan di Buenos Aires, Argentina dan diadakan secara dalam talian.
Haiku adalah puisi yang berasal dari negara Jepun dengan format tersendiri dan terdiri daripada tiga barisan ayat dengan suku kata spesifik iaitu lima suku kata bagi ayat pertama, tujuh suku kata bagi ayat kedua dan lima suku kata ayat terakhir.
Dua ayat pertama adalah pembayang bagi ayat ketiga yang menyampaikan maksud atau mesej sebenar puisi berkenaan.
Menerusi video deklamasi puisi haiku yang dimuat naik di laman YouTube, Nur Hanisah sememangnya memiliki tona suara yang lembut dan lunak di samping penyampaian yang penuh penghayatan.
[embed]https://www.youtube.com/watch?v=DO37X1oHCrE[/embed]
Siti Hanisah telah mengambil kisah ibu bapa dan suasana sekolah sebagai sumber inspirasinya untuk menulis 10 puisi haiku.
Menurut Guru Bahasa Inggeris KV Keningau, Dr Mohd Sirhajwan Idek, puisi haiku dianggap sebagai salah satu warisan budaya sastera Jepun yang kebiasaannya bertemakan alam semula jadi.
Jelasnya, Siti Hanisah juga pernah menghadiri beberapa bengkel menulis haiku yang dibimbing oleh jurulatih dari Britain dan Amerika Syarikat melalui aplikasi Google Meet.
Dalam pada itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin turut mengucapkan tahniah kepada pelajarnya itu atas pencapaiannya yang membanggakan.
"Diharap pelajar terus menghasilkan karya seni yang mampu meningkatkan kemampuan untuk memelihara warisan budaya, menguasai bahasa Inggeris serta mengasah bakat dalam bidang persembahan, penulisan dan visual,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.
Artikel berkaitan
4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat
Usaha perkasakan TVET negara, jalin kerjasama dengan universiti di Jerman