Satu lembaran sejarah baharu tercipta apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) menamakan semula Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, sempena menghargai sumbangan besar bekas Perdana Menteri Malaysia kelima terhadap pembangunan pendidikan Bumiputera dan kemajuan institusi Mara.
Pemasyhuran nama baharu itu bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan penghormatan agung kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang banyak menabur jasa dalam membentuk dasar pendidikan inklusif dan holistik buat anak bangsa.
MRSM Kepala Batas yang terletak di Seberang Perai mula beroperasi pada 1 Mac 2007, dengan pengambilan pertama seramai 359 pelajar pada 16 April tahun yang sama.
"Tun Abdullah merupakan figura kepimpinan negara yang unggul dan banyak menyokong penuh usaha Mara untuk memperluas peranan institusinya seperti Kolej Profesional MARA, GIATMARA dan MRSM.
"Antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan Mara ialah pengukuhan sistem pendidikan dualistik yang menggabungkan ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi yang menjadi asas kepada program Ulul Albab MRSM,” menurut hantaran di Facebook Mara pada Isnin.
Kongsi mereka, Mara memiliki lapan buah MRSM Ulul Albab di seluruh negara dengan cetusan idea yang dibawakan oleh beliau.
"Selain melahirkan pelajar huffaz yang cemerlang dalam bidang akademik, program Ulul Albab juga membentuk individu berintegriti tinggi yang bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan dengan berteraskan nilai-nilai Islam yang syumul,” kongsi mereka.
Akhir sekali, pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah sebuah pengiktirafan dan penghormatan khas kepada seorang tokoh yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.