Makam Pahlawan (kanan) adalah sebuah tempat perkuburan khas buat pemimpin negara dan tokoh kenamaan yang telah banyak berjasa kepada Malaysia. Kredit foto: izham17
Makam Pahlawan (kanan) adalah sebuah tempat perkuburan khas buat pemimpin negara dan tokoh kenamaan yang telah banyak berjasa kepada Malaysia. Kredit foto: izham17

Fakta penting tentang Makam Pahlawan yang ramai tidak tahu

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Apr 2025 08:30pm

Makam Pahlawan menjadi sebutan ramai sejak semalam hingga hari ini susulan pemergian mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tokoh tersohor yang lebih dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), jam 7.10 malam tadi.

Tahukah anda, apa yang dimaksudkan dengan Makam Pahlawan dan kenapa Allahyarham Tun Abdullah disemadikan di sana?

Makam Pahlawan adalah sebuah tempat perkuburan khas yang terletak di pekarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Ia dibina pada tahun 1963 dan siap sepenuhnya pada 1965, sebagai tempat penghormatan terakhir buat pemimpin negara dan tokoh kenamaan yang telah banyak berjasa kepada Malaysia.

Kawasan Masjid Negara dan Makam Pahlawan direka oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) iaitu Howard Ashley, Hisham Al-Bakri dan Baharudddin Kassim.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Makam yang unik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian dalam dan luar.

Artikel Berkaitan:

Bahagian dalam dilitupi dengan kubah konkrit berbentuk bintang pecah sebanyak tujuh yang menempatkan beberapa makam.

Kubah berbintang ini mempunyai penjuru yang setiap satunya hampir mencecah tanah dan dikelilingi kolam yang memisahkan kawasan luar.

Di bahagian tengah pula direka dengan hiasan lambang negara dan ukiran bunga-bunga daripada batu marmar dari Pulau Langkawi.

Bahagian tengah bumbung kubah pula dihiasi dengan hiasan bunga mawar berwarna emas.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Makam Pahlawan dan Masjid Negara telah diwartakan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sebagai tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 6 Julai 2007.

Seramai lima pemimpin telah disemadikan di perkuburan khas tersebut iaitu Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein; Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn; mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail dan Tun Ghafar Baba.

Turut serta Tun Abdulllah yang selamat dikebumikan dengan penuh istiadat penghormatan negara pada jam 2.30 petang hari ini.

Lingkaran Makam Pahlawan pula menempatkan pusara pemimpin-pemimpin negara yang lain seperti bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Syed Jaafar Albar; bekas Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Tun Sardon Jubir; bekas Menteri Dalam Negeri dan Menteri Luar, Tun Muhammad Ghazali Shafie dan mantan Menteri Kebajikan Masyarakat, Tun Fatimah Hashim.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp