
Anak Orang Asli Lubuk Bandung kini mengetuai penyelidikan klinikal di Amerika Syarikat! Dr Saiful Anuar memang luar biasa
Anak-anak Orang Asli semakin hari semakin membanggakan negara melalui pencapaian akademik dan profesional mereka.
Sebagai contoh, Dr Shima Rabi’atul’ Adawiyah Zainal dari suku kaum Mahmeri, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang, Selangor berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Kimia dari University of Manchester, United Kingdom. Hebat bukan?
Terkini, seorang lagi pemuda dari komuniti Orang Asli menambah senarai kejayaan apabila menonjol dalam arena akademik dan penyelidikan di Amerika Syarikat.
Dr Saiful Anuar Singar, anak Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Melaka yang merupakan graduan Old Dominion University, Norfolk, Virginia (USA), berjaya membuktikan bahawa anak muda Orang Asli juga mampu mengharumkan nama negara di pentas global.
Menurut perkongsian dalam Facebook MARA USA, Dr Saiful Anuar adalah graduan tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Amerika Syarikat.
Kini beliau memacu inovasi, membina industri dan mengharumkan nama negara melalui penyelidikan saintifik dalam bidang kesihatan.
"Perjalanan akademik dan penyelidikan Dr Saiful Anuar bermula dengan minat mendalam terhadap pemakanan dan pencegahan penyakit kronik. Dari situ, beliau membina asas kerjaya dalam penyelidikan dan penilaian klinikal dengan sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Mara, yang membawanya ke Amerika Syarikat.
"Daripada pembantu projek, beliau kini mengetuai kajian klinikal dan menyelaras pasukan penyelidik dalam bidang kesihatan kardiometabolik. Di Old Dominion University, beliau terlibat dalam reka bentuk dan pelaksanaan ujian klinikal yang menilai strategi pemakanan praktikal dan kesannya terhadap kesihatan vaskular dan metabolik.
"Kini, Dr Saiful Anuar sedang menjalani latihan penyelidikan lanjutan (Postdoctoral Fellow) di Pusat Sains Kesihatan Macon & Joan Brock Virginia Health Sciences, Old Dominion University," maklum hantaran itu.
Pencapaian anak muda ini jelas bukan datang dengan mudah. Pastinya beliau melalui pelbagai cabaran dan ujian getir sebelum berjaya menjejakkan kaki ke tahap ini.
Menurut Dr Saiful Anuar, rahsia kejayaannya adalah strategi, disiplin dan semangat belajar yang berterusan.
"Mula awal, susun strategi dan pilih program yang benar-benar selari dengan matlamat anda. Bina hubungan bermakna dengan mentor, alumni dan rakan penyelidik. Layan setiap peluang dengan profesionalisme, konsistensi dan rasa ingin tahu.
"Paling penting, ingat kenapa anda bermula. Gunakan ilmu untuk memberi impak kepada komuniti. Success isn’t about being born exceptional. It’s about showing up, learning, and not giving up. Remember your roots, and bring others with you," katanya.
INFO
Latar belakang akademik
- BSc Nutritional Sciences (Dietetics), Minor in Kinesiology - Penn State University
- MSc Human Nutrition - University of Delaware
- PhD Human Sciences (Nutrition & Food Science) - Florida State University
Pencapaian/Anugerah
- HNFS Dissertation Award
- CEHHS Scholarship
- COGS & HNFS Travel Awards
- Dr Jeong - Su Kim Scholarship & Research Fund
- Accessibility Champion Award (Office of Accessibility Services)
- Lebih 15 penerbitan jurnal dan bab buku dalam bidang pemakanan kardiometabolik, corak diet dan mikrobiom usus
- Pembentangan di persidangan utama seperti American Society for Nutrition (ASN) dan Academy of Nutrition and Dietetics (AND)
- Anak-anak Orang Asli meningkatkan nama negara melalui pencapaian akademik dan profesional
- Dr Shima Rabi'atul' Adawiyah Zainal dari suku Mahmeri memperoleh PhD dalam Kejuruteraan Kimia dari University of Manchester
- Dr Saiful Anuar Singar, graduan Old Dominion University, USA, membuktikan anak muda Orang Asli boleh berjaya di pentas global
- Dr Saiful Anuar memajukan penyelidikan dalam kesihatan kardiometabolik dengan sokongan JAKOA dan MARA
- Rahsia kejayaan adalah strategi, disiplin, dan semangat belajar berterusan