No Image Caption

SPM 2025 kohort tanpa 'checkpoint' tradisional

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
06 Apr 2026 02:34pm

Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, bukan sekadar detik debaran buat calon dan ibu bapa, malah menjadi tumpuan umum di seluruh negara.

Buat pertama kalinya, keputusan ini melibatkan kohort yang melalui keseluruhan sistem persekolahan tanpa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang sebelum ini menjadi penanda aras penting perjalanan akademik pelajar.

Seperti yang dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inilah generasi pertama yang benar-benar dibentuk sepenuhnya oleh landskap pendidikan baharu.

Lebih menarik, keputusan SPM 2025 boleh dianggap sebagai 'cermin besar' kepada keberkesanan sistem tanpa checkpoint tradisional yang selama ini menjadi tunjang penilaian.

Persoalannya, sejauh mana ketiadaan peperiksaan berpusat di peringkat awal memberi kesan kepada kualiti pembelajaran, disiplin akademik dan kesiapsiagaan murid menghadapi peperiksaan utama?

Dalam landskap pendidikan negara, UPSR dan SPM dilihat berada dalam 'kelas' yang sama iaitu kedua-duanya menentukan hala tuju murid.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, hakikatnya kedua-dua penilaian ini membawa fungsi yang sangat berbeza.

Menurutnya, sekiranya UPSR sebelum ini lebih bersifat menilai tahap penguasaan asas dan perkembangan awal pembelajaran murid, SPM pula berada pada kedudukan yang jauh lebih kritikal sebagai penentu masa depan.

Artikel Berkaitan:

Gambar kecil: Dr Anuar
Gambar kecil: Dr Anuar

"SPM ini untuk memilih siapa yang paling berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti atau menyambung pelajaran ke luar negara untuk memohon biasiswa.

"Jadi, keputusan SPM itu fungsinya sebagai alat pemilihan sebab itu semua orang mengejar untuk jadi yang paling cemerlang," katanya kepada Sinar Bestari.

SPM bukan sekadar peperiksaan penamat persekolahan tetapi berperanan sebagai alat pemilihan yang jelas dan kompetitif.

Tidak hairanlah, seluruh ekosistem pendidikan termasuk sekolah, guru dan murid sendiri memberi penekanan luar biasa terhadap keputusan SPM.

Berbeza dengan SPM yang berfungsi sebagai medan pemilihan, UPSR pula memainkan peranan yang jauh lebih asas tetapi kritikal dalam ekosistem pendidikan.

Tegas Anuar, peperiksaan sekolah rendah itu tidak pernah diwujudkan untuk menentukan siapa paling cemerlang, sebaliknya sebagai pemantauan bagi memastikan tiada murid tercicir.

"Fungsi utama UPSR adalah sebagai ‘sistem amaran awal’ untuk mengenal pasti murid yang masih bergelut dengan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Melalui keputusan yang diperoleh, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dapat mengambil tindakan intervensi, sama ada melalui penambahan guru, pelaksanaan program sokongan mahupun penyediaan peruntukan tambahan," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp