
Baru raih keputusan SPM, pelajar ini 'pergi' tanpa sempat kejar impian
Baru-baru ini, Sinar Bestari menyiarkan satu berita yang cukup meruntun jiwa iaitu pemergian seorang guru pelatih bersama dua pelajar sekali gus meninggalkan kesan mendalam buat seluruh warga pendidikan.
Salah seorang daripadanya ialah pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang, Selangor, Allahyarhamah Nurul Ayra Alesha Amran.
Menurut perkongsian pihak sekolah kepada Sinar Bestari, Allahyarhamah dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan maut di Sungai Kandis ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Lebih memilukan, Allahyarhamah baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 31 Mac lalu.
Dalam usia yang masih muda, dia gigih bekerja secara sambilan sementara menunggu peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pemergian ini bukan sahaja mengejutkan keluarga dan rakan-rakan, malah turut meninggalkan kesan mendalam warga sekolah yang mengenali peribadinya sangat baik dan sopan.
"Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Nurul Ayra Alesha. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Insya-ALLAH, Aamiin," kongsi pihak sekolah kepada kami.
Sesungguhnya, setiap yang hidup pasti akan kembali kepadaNya. Tetapi kehilangan insan muda yang sedang melakar masa depan seperti ini benar-benar mengundang pilu yang sukar diungkap dengan kata-kata.