
Lima kali bangkit demi pendidikan berkualiti
Di sebalik kejayaan, tersimpan perjalanan panjang yang tidak dibina dalam satu cubaan singkat.
Guru SK Jimah Baru, Port Dickson, Negeri Sembilan, Muhammad Khairi Khairul Anuar yang aktif memperjuangkan inovasi pendidikan berkata, kejayaan yang diraih selepas lima kali mencalonkan diri sebelum berjaya menerima anugerah yang diimpikan.
Namun baginya, angka itu bukan perkara utama, sebaliknya proses penambahbaikan yang berlaku dalam setiap penyertaan menjadi pengalaman paling berharga.
"Setiap kali mencuba, saya belajar sesuatu baharu seperti bagaimana hendak mendokumentasikan impak dengan lebih tersusun, membezakan inovasi yang hanya nampak menarik berbanding mengubah pengalaman belajar," katanya.

Muhammad Khairi percaya kejayaan dalam dunia pendidikan bukan umpama mi segera, ia sebaliknya lahir daripada konsisten, keberanian menerima teguran dan kesediaan memperbaiki kelemahan dari masa ke masa.
"Semua idea dan pendekatan diterapkan secara langsung dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) harian sebelum didokumentasikan secara berfasa.
"Inovasi pendidikan yang benar-benar kuat tidak siap dalam dua atau tiga minggu. Ia perlukan masa, disiplin dan refleksi," ujarnya.
Mengulas peranan teknologi dalam pendidikan masa depan, Muhammad Khairi menegaskan ia perlu memperkukuh pedagogi dan membuka peluang luas kepada murid, bukannya sekadar mendigitalkan rutin lama.
"Platform seperti Minecraft Education dan Canva sangat membantu murid membina pemikiran kritis, kreativiti, kolaborasi dan literasi AI melalui pembelajaran imersif, autentik serta berimpak tinggi," katanya.
