Majlis ini melibatkan pelajar daripada semua tingkatan bermula kelas peralihan hingga Tingkatan Lima, termasuk calon-calon yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.
Majlis ini melibatkan pelajar daripada semua tingkatan bermula kelas peralihan hingga Tingkatan Lima, termasuk calon-calon yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.

SMK Seri Serdang angkat kejayaan pelajar dan guru dalam MAKA 2026

02 Jun 2026 05:17pm

Barisan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Selangor telah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) 2026 baru-baru ini.

Majlis berkenaan melibatkan pelajar daripada semua tingkatan bermula kelas peralihan hingga Tingkatan Lima, termasuk calon-calon yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Lebih istimewa, MAKA 2026 bukan sahaja menjadi pentas meraikan kejayaan pelajar, malah turut memberikan penghargaan kepada panitia mata pelajaran yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Serdang, Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, kecemerlangan akademik tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh termasuk aspek pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri pelajar.

"Kejayaan yang diraikan hari ini adalah hasil usaha gigih pelajar, komitmen guru serta sokongan berterusan daripada ibu bapa.

"Kecemerlangan sebenar lahir apabila ilmu yang dimiliki disertai dengan nilai, adab dan integriti yang tinggi," katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

"Saya percaya setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya mereka terus berusaha, berdisiplin dan tidak mudah berputus asa.

"Jadikan kejayaan rakan-rakan yang diraikan hari ini sebagai inspirasi untuk mencipta kejayaan sendiri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengetua SMK Seri Serdang, YM Tengku Zarena Tengku Azam berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan platform penting untuk menghargai usaha dan dedikasi pelajar yang telah membuktikan kemampuan mereka dalam bidang akademik.

Menurut beliau, kejayaan yang dicapai bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah menjadi bukti kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa dalam melahirkan anak-anak didik yang berilmu, berdaya saing serta seimbang dari aspek intelek, emosi dan sahsiah.

"Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar untuk terus melakar kejayaan dan seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa serta negara," katanya.

Pada majlis sama, pelajar cemerlang SPM 2025, Shaik Muhammad Ariffin Shaik Hassan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2025 selepas mencatat keputusan cemerlang 9A.

No Image Caption

Lebih membanggakan, beliau yang memasang impian untuk bergelar doktor turut meraih anugerah pencapaian terbaik bagi enam mata pelajaran iaitu Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Islam dan Matematik.

Pencapaian luar biasa itu bukan sahaja membuktikan kecemerlangan akademiknya, malah menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing melalui kesungguhan, disiplin dan kerja keras yang berterusan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp