
'Syurga buatmu, dik...' - Pengorbanan terakhir Allahyarham Nabil Izz Qaisar buat ramai menangis
Walaupun sudah beberapa hari menghadap Ilahi, kisah pengorbanan luar biasa pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor, Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee masih terus menjadi bualan masyarakat.
Pemergian Allahyarham pada 27 Julai (Isnin) lalu bukan sekadar meninggalkan kesedihan kepada keluarga dan insan tersayang, malah menghadiahkan sinar baharu kepada insan lain apabila beliau memilih untuk menderma organ sekali gus memberi harapan baharu kepada enam penerima yang memerlukan.
Menurut Pakar Perunding Anestesia dan Rawatan Kritikal Hospital Selayang, Dr Haslinda Abd Hashim seperti dipetik portal tempatan, proses pendermaan organ Allahyarham serta pemindahannya kepada enam penerima telah dilaksanakan pada awal pagi Selasa.
Beliau berkata, organ yang didermakan ialah paru-paru, jantung, hati, dua buah pinggang dan dua kornea.
Kisah mulia itu nyata meruntun hati warga maya. Ruangan komen di media sosial dibanjiri doa, ucapan takziah dan penghargaan terhadap keikhlasan Allahyarham serta ketabahan keluarganya menerima keputusan murni tersebut.
Antara yang sempat dipetik Sinar Bestari ialah:
Rohaya Rahim: "Allahuakbar... sebuah kematian yang menghidupkan. Al-Fatihah buat Allahyarham anakanda Nabil."
Jayanthi Wardan: "Mulianya hati mak dan bapa arwah yang mengizinkan organ anak mereka didermakan kepada mereka yang memerlukan. Semoga segala urusan dipermudahkan dan Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman."
Cik Lebah: "Masya-Allah, tabarakallah. Arwah menjadi sumber inspirasi. Pengorbanan yang tidak terjangka. Semoga syurga buatmu."
Terdahulu, Allahyarham Nabil Izz Qaisar menghembuskan nafas terakhir pada usia 19 tahun, kira-kira jam 3.50 petang, Isnin.
Sebelum dibawa ke dewan bedah bagi menjalani prosedur pendermaan organ, Allahyarham diberikan penghormatan terakhir menerusi honour walk oleh warga perubatan Hospital Selayang.
Sesungguhnya, ada insan yang pergi meninggalkan kenangan, namun ada juga yang pergi sambil meninggalkan harapan untuk orang lain.
Pengorbanan terakhir Allahyarham Nabil Izz Qaisar menjadi bukti bahawa sebuah pemergian mampu menghidupkan semula sinar dalam kehidupan insan lain.