
Dua tahun, pentas kebangsaan!
Kumpulan Gamelan Musikarma SMK Kota Kemuning bersaing di pentas kebangsaan
Siapa sangka, pasukan gamelan yang baru berusia dua tahun mampu berdiri sebaris pasukan terbaik negara di pentas kebangsaan.
Itulah momen paling sukar dilupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Nur Fazirah Zambri, apabila segala penat lelah, disiplin dan komitmen pelajar yang dicurahkan sepanjang latihan akhirnya membawa mereka ke pentas berprestij itu.
Meskipun pasukan itu pulang tanpa sebarang gelaran, namun peluang beraksi di peringkat tertinggi sudah cukup membanggakan pelbagai pihak.
Lebih bermakna, pengalaman itulah yang membuktikan bahawa kejayaan bukan sahaja diukur melalui kemenangan, sebaliknya keberanian pelajar mencabar kemampuan diri dan kesungguhan mengejar impian.
“Setiap paluan yang dipersembahkan mereka adalah simbol semangat yang tidak pernah luntur, sekali gus menyuntik inspirasi untuk terus mengangkat seni gamelan ke tahap tinggi.

“Kejayaan ini akan sentiasa menjadi kenangan manis dan juga pemangkin untuk pasukan,” katanya yang juga jurulatih pasukan gamelan sekolah berkenaan.
Untuk rekod, kumpulan Gamelan Musikarma, ditubuhkan pada Mac 2023, dengan penyertaan 10 murid bagi tujuan menyemarakkan minat generasi muda terhadap seni muzik tradisional.
Tambah Nur Fazirah, penubuhan pasukan itu bukan sekadar membuka ruang kepada murid mempelajari teknik bermain gamelan, malah ia platform mengenali keindahan warisan budaya Malaysia yang semakin jarang didekati generasi masa kini.
“Untuk sekarang, ada 35 murid aktif dalam pasukan. Guru-guru mengadakan sesi temu duga dan ujibakat untuk mencungkil bakat murid, terutama mereka yang tiada asas muzik,” katanya lagi.
REAKSI
"Antara faktor yang mendorong saya menyertai gamelan kerana ia menjadi halwa telinga pada masyarakat yang mana alunan muziknya indah. Pentingnya untuk masyarakat mengetahui tentang seni muzik tradisional menggunakan alat seperti gendang, saron pekin, saron baron dan lain-lain.
“Kemahiran paling berharga yang dipelajari sepanjang bermain gamelan, dapat meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi antara rakan sepasukan. Contohnya, ketika mengendalikan alat muzik, saya perlu ikut tempo dan rentak bersama rakan lain. Tanpa alunan yang serasi antara pasukan lain akan merosakkan keindahan muzik berkenaan.” - Pelajar SMK Kota Kemuning, Amirul Hakim Azmi, 17

"Pengalaman paling membanggakan adalah pencapaian saya dan ahli pasukan ke peringkat kebangsaan. Pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu kami hadapi. Namun, sentiasa memberikan kerjasama dan semangat antara satu sama untuk tidak berputus asa.
“Murid lain patut mencuba instrumen gamelan kerana ia salah satu identiti seni Malaysia yang patut dibanggakan dan dibudayakan agar tidak ditelan dek zaman.” - Pelajar SMK Kota Kemuning, Nur Zahra Sofiah Mohamad Zamri, 16.
"Saya berminat terhadap bidang muzik sejak kecil lagi. Kemudian ayah mula menghantar saya untuk mempelajari piano. Terdapat pelbagai faktor mendorong saya untuk menyertai gamelan antaranya, keinginan saya yang kuat untuk menerokai dunia muzik tradisional selepas terbiasa dengan alat muzik moden.
“Sebagai generasi muda, kita memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya seni untuk memastikan dunia muzik tradisional tidak ditelan zaman.” - Pelajar SMK Kota Kemuning, Bharggavi Yogeshwara Kumar, 16.
