Untitled (600 × 400px)
Untitled (600 × 400px)

10 anak Terengganu cemerlang diberikan biasiswa

firdaus.hanafi
26 Jan 2023 02:24pm
A
A
A

Keputusan pelajaran yang cemerlang datang daripada usaha dan kerja keras pelajar yang tidak berbelah bahagi.


Selain menjamin masa depan, keputusan yang bagus juga dapat membantu meringankan beban serta mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.


Usaha dan kegigihan para pelajar ini wajar dicontohi serta dihargai kerana mereka terus komited untuk penuhkan diri mereka dengan ilmu untuk diri sendiri dan juga orang tersayang.


Bagi menghargai pengorbanan tersebut, Yayasan Terengganu baru-baru ini telah meraikan 10 anak Terengganu yang cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam (IPTA), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Kesemua pelajar yang diraikan dalam Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa itu menerima biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-T1) 2022.


Ahmad Samsuri (baju biru) bersama salah seorang penerima biasiswa. Kredit foto: Facebook Yayasan Terengganu


 


Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, biasiswa itu adalah kerjasama antara Yayasan Terengganu dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu dengan menubuhkan Tabung Biasiswa GLC (TBG).


Tambah beliau, dana permulaan yang berjaya dikumpulkan menerusi TBG berjumlah RM500,000.


“Biasiswa ini diberikan kepada 10 pelajar cemerlang lepasan program persediaan matrikulasi atau asasi serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di semua IPTA.


“Mereka akan menerima biasiswa antara RM12,000 hingga RM15,000 setahun mengikut keperluan bidang yang diikuti,” katanya yang ditemui selepas majlis tersebut.


Ujar Ahmad Samsuri lagi, pemilihan bidang pengajian biasiswa itu merangkumi kursus berkaitan yang diperlukan oleh syarikat GLC dan kerajaan negeri Terengganu.

Ulasnya, pemilihan kursus yang ada juga mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi bagi memastikan masalah pengangguran dalam kalangan graduan berkurang.


Selain itu Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM18 juta melalui Yayasan Terengganu untuk membiayai pengajian 708 pelajar ijazah sarjana muda di dalam serta luar negara sejak 2019 hingga 2022.


“Kita juga telah mengeluarkan sebanyak RM3.2 juta untuk disalurkan kepada 157 pelajar peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam tempoh yang sama.


“Satu skim biasiswa untuk Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) juga diwujudkan untuk lebih ramai anak negeri ini mendapat pengiktirafan dari badan profesional perakaunan,” ujarnya.


Artikel Berkaitan 


Permohonan Biasiswa Turkiye 2023 kini dibuka


Rezeki! 61 pelajar B40 terima biasiswa peringkat tertiari penuh


Permohonan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal negeri Perak kepada pelajar sekolah menengah sudah dibuka!


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok