HomeBuletin100 pelajar terpilih terima sumbangan barangan persekolahan, ringankan beban ibu bapa

Artikel Berkaitan

100 pelajar terpilih terima sumbangan barangan persekolahan, ringankan beban ibu bapa

Seramai 100 pelajar menerima keperluan barangan persekolahan menerusi Program Sumbangan Bantuan ‘Back To School’ di Bintang Fashion, Aeon Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur, 10 Mac lalu.

Program anjuran Persatuan Prihatin & Muhibah Wilayah Persekutuan / Selangor bersama Persatuan Rakan Media Prihatin dengan kerjasama Kelab Media Prima serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu dilihat sebagai satu program murni di mana dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak pada tahun ini selain menyuntik semangat belajar dan berjaya dalam kalangan pelajar.

Penyelaras Skuad Jejak Asnaf MAIWP, Mohamad Ishak Zulkifly berkata, pelajar yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada golongan asnaf, ibu bapa yang tidak bekerja kerana pandemik Covid-19, yang terlibat dengan musibah banjir dan anak-anak yatim piatu.

“Mereka menerima kelengkapan satu set pakaian sekolah, beg dan juga kasut. Kami berharap, dengan sumbangan ini, dapatlah membantu mereka yang berkaitan,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari, baru-baru ini.

Baca juga 

Program kesedaran kesihatan mental bantu pelajar tangani masalah depresi

“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” – Cikgu Norazri

Mohamad Ishak berkata, program itu adalah kolaboratif tahun kelima antara penganjur dengan MAIWP dan beliau berharap ia akan terus diadakan sebagai program tahunan.

Pada program tersebut, seramai 40 pelajar dan ibu bapa sahaja yang hadir bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Yang selebihnya, pihak penganjur akan mengagihkannya kemudian.

Sementara itu, seorang bapa, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, program berkenaan membantu keluarganya membuat persiapan keperluan sekolah.

“Ini pertama kali saya dapat sumbangan sebegini dan ia adalah rezeki anak-anak, Mohamad Fiqrullah (Tingkatan Satu) dan Mohammad Fitri (Tahun Satu) menerima kelengkapan pakaian sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Kami bukan daripada keluarga yang senang. Jadi, dengan bantuan ini dapatlah meringankan bebanan keluarga,” ujarnya.

Mohamad Fiqrullah juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur kerana memberikan sumbangan kepada mereka.

“Sebagai tanda terima kasih atas sumbangan yang diterima ini, saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang polis kelak,” jelasnya.

Artikel Terkini