Jalur Gemilang sepanjang 400m berjaya dihasilkan oleh 120 murid dari empat buah sekolah sekitar Klang.
Jalur Gemilang sepanjang 400m berjaya dihasilkan oleh 120 murid dari empat buah sekolah sekitar Klang.

120 murid hasilkan Jalur Gemilang sepanjang 400 meter. Warga maya kagum!

ROSHLAWATY MD RAIEH
20 Sep 2023 04:41pm
A
A
A

Seramai 120 murid dari empat buah sekolah sekitar Klang, Selangor berjaya menghasilkan Jalur Gemilang Perpaduan sepanjang 400 meter (m) pada Program Jalur Gemilang Perpaduan dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan baru-baru ini.

Empat buah sekolah itu adalah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuda; SK (Perempuan) Bukit Kuda; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Hoe dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum, SK Bukit Kuda, Cikgu Mohd Yunus Shahar, pembinaan Jalur Gemilang Perpaduan secara bersama-sama adalah kemuncak kepada penutupan sambutan bulan Kemerdekaan yang baharu sahaja berakhir pada Khamis.

“Setiap sekolah memilih 30 murid untuk menyiapkan Jalur Gemilang Perpaduan yang telah ditetapkan tempohnya.

“Ini bermakna, keseluruhan murid bagi empat buah sekolah adalah sekitar 120 orang diiringi tiga guru pengiring bagi setiap sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada Program Jalur Gemilang Perpaduan dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung di SK Bukit Kuda pada Jumaat.

Azli (depan) bersalaman dengan murid-murid ketika hadir pada  Program Jalur Gemilang Perpaduan dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan baru-baru ini.
Azli (depan) bersalaman dengan murid-murid ketika hadir pada Program Jalur Gemilang Perpaduan dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan baru-baru ini.



Antara persembahan murid sempena Program Jalur Gemilang Perpaduan dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan pada Jumaat.
Antara persembahan murid sempena Program Jalur Gemilang Perpaduan dan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ahli Parlimen Shah Alam, Selangor, Azli Yusof; Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zulkarnain Johari dan ahli akademik, Profesor Madya Dr Hamdan Daniel M Sharib.

Turut serta, Guru Besar SK Bukit Kuda, Norfazilah Baharum; Guru Besar SK (P) Bukit Kuda, Siti Aidah Mohd Barozah; Guru Besar SJK (C) Kong Hoe, Cheah Mee Ling dan Pengetua SMK Sultan Abdul Samad, Roslina Abdullah Sani.

Sementara itu, Cikgu Mohd Yunus berkata, penghasilan bendera Malaysia sepanjang 400m itu merupakan aktiviti yang pertama kali diadakan membabitkan sekolah sekitar Klang.

Cikgu Mohd Yunus (kanan) berharap program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.
Cikgu Mohd Yunus (kanan) berharap program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.



Beberapa guru yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.
Beberapa guru yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.

“Sebagai guru, saya cukup berpuas hati dengan usaha yang dilakukan murid sekolah rendah dan menengah ini.

“Menerusi aktiviti sebegini, ia telah memupuk sikap kerjasama, tolong menolong dan mewujudkan suasana muhibbah secara sedar dan terancang,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Cikgu Norfazilah merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat kerana telah memberi komitmen dan kerjasama yang jitu terhadap penghasilan Jalur Gemilang Perpaduan berkenaan.

“Apabila kita melakukannya secara bersama-sama, tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat keteguhan perpaduan kita.

“Bak kata perumpamaan ‘segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi’,” ujarnya pada majlis berkenaan.

Sambung beliau lagi, penganjuran Jalur Gemilang Perpaduan tersebut adalah sebahagian daripada program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 1986.

No Image Caption

“Oleh yang demikian, atas dasar kesedaran inilah, pihak sekolah SK Bukit Kuda melalui kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang serta beberapa sekolah sekitar melaksanakan program RIMUP demi menyambut hasrat kerajaan dalam melahirkan budaya masyarakat yang sentiasa sayang menyayangi, hormat menghormati dan saling bekerjasama membangunkan negara tercinta ini,” ujar beliau.

No Image Caption

Akhir sekali, Cikgu Norfazilah yakin yang pelaksanaan Jalur Gemilang Perpaduan itu mampu menjadi landasan terbaik untuk menyemai sikap kasih sayang dan menyemarakkan semangat ‘esprit de corp’ antara murid pelbagai kaum.

“Dengan pelaksanaan aktiviti integrasi melalui RIMUP ini, saya berharap agar semua murid yang mengikutinya akan memanfaatkan dan menjalinkan semangat muhibah dalam kalangan mereka selain dapat memupuk semangat hormat menghormati serta saling memahami adat dan budaya rakyat berbilang kaum,” tuturnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok