WhatsApp Image 2022-10-26 at 11.32.30 AM
WhatsApp Image 2022-10-26 at 11.32.30 AM

14 kes penjualan tablet PerantiSiswa dikesan, tindakan tegas akan dikenakan

Adlan Farhan Azwan
26 Oct 2022 11:38am
A
A
A

Pelajar yang didapati menjual semula tablet PerantiSiswa diingatkan untuk tidak berbuat sedemikian kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang melakukan pemantauan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu menjual semula tablet diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang layak di bawah Program PerantiSiswa.

“KPDNHEP sedang melakukan pemantauan terhadap 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dikesan setakat ini di seluruh negara.

“Tindakan akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal PerantiSiswa atau memaklumkan kepada pihak universiti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Putrajaya, baru-baru ini.

Program PerantiSiswa merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bagi membantu proses pembelajaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40 dengan menyediakan tablet secara percuma.

Tambah beliau, tindakan menjual semula peranti itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan pihaknya memandang serius perkara itu.

“Peranti yang diedarkan kepada pelajar mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan keberadaan peranti itu sama ada di universiti atau lokasi lain.

“Peranti ini ada keupayaan untuk melakukan ‘tracking’ siapa pemilik yang telah jual dan ada beberapa peranti telah disekat penggunaannya.

“Tindakan menjual peranti itu sama seperti melanggar Aku Janji yang menetapkan peranti hanya untuk kegunaan sendiri, seperti yang ditandatangani mereka ketika menerima peranti tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Annuar memaklumkan K-KOM bersedia mengkaji pelaksanaan polisi beli semula bagi penerima PerantiSiswa untuk menjual peranti mereka, sekiranya mereka tidak lagi menggunakannya.

“Mereka yang tidak mahu guna, mungkin ada kaedah beli semula yang sesuai selepas setahun dan saya akan minta untuk mengkaji kaedah itu berbanding menjualnya dengan harga murah” ujar beliau.

Annuar berkata, pihaknya akan terus berusaha mengagihkan peranti di bawah Program PerantiSiswa kepada pemohon yang lulus dengan kadar segera, walaupun wujud kes penjualan semula peranti itu oleh segelintir pelajar.

“Saya telah meletakkan sasaran untuk agihkan PerantiSiswa yang diluluskan sebelum 31 November ini dan pengedaran terus berjalan kerana kes-kes penjualan peranti ini adalah kecil,” jelasnya.

Sebelum itu, tular di media sosial apabila terdapat segelintir pelajar menjual semula tablet PerantiSiswa bersama aksesori yang lain dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Perbuatan tersebut telah mendapat perhatian ramai pihak yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan pelajar yang dilihat tidak menghargai pemberian tablet dengan menjualnya untuk keuntungan mudah.

Artikel berkaitan

“Belajar untuk amanah dan jujur” - Cikgu Mohd Fadli terkilan pelajar ambil kesempatan jual tablet PerantiSiswa

Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima PerantiSiswa

6 aplikasi bantu pelajar, guru susun jadual lebih efektif


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok