Fadhlina (tengah) ketika sesi lawatan ke SMKJ Keat Hwa baru-baru ini.
Fadhlina (tengah) ketika sesi lawatan ke SMKJ Keat Hwa baru-baru ini.

14,858 tidak duduki peperiksaan SPM 2022, KPM gigih cari punca ketidakhadiran calon

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Jun 2023 04:27pm

Kira-kira 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tidak menduduki peperiksaan berkenaan baru-baru ini.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti faktor-faktor tertentu yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar untuk menjawab peperiksaan SPM 2022 di lokasi masing-masing.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penelitian perlu dilakukan bagi membolehkan kementerian membuat intervensi yang sewajarnya dalam memastikan kehadiran pelajar lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

“Saya fikir ada banyak faktor dan ia pastilah faktor yang mendesak sehingga mereka tidak boleh hadir menduduki peperiksaan. Jadi, ia perlukan penelitian dan bagi masa untuk teliti, kita akan buat intervensi sewajarnya.

“Bagi menentukan perkara ini membimbangkan atau tidak, ia bergantung kepada apa yang kita dapat selepas teliti nanti.

“Ini kerana calon kita adalah pelbagai, misalnya ada calon yang bukan bawah sekolah KPM, ada juga calon persendirian dan lain-lain lagi, jadi perlu pecahan yang lebih teliti,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Keat Hwa, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.

Sementara itu, semasa dirujuk mengenai cadangan untuk penambahbaikan silibus subjek Sejarah yang melibatkan Kedah dan Pulau Pinang, Fadhlina berkata, ia tidak akan dilakukan buat masa ini kerana setiap silibus subjek mempunyai kitarannya sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kurikulum ini dipantau oleh pakar-pakar bidang berkaitan.

“Selain itu, murid-murid juga ada kitarannya (masa perlaksanaannya). Jadi, setakat ini kita kekal seperti sedia ada sehinggalah kitaran itu habis dan akan lihat dari segi keperluan untuk semua, bukan sejarah sahaja tapi keseluruhan mata pelajaran,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp