
19 sekolah di Sabah murid bawah 20 orang, hanya empat murid di SK Desa Permai
Sebanyak 19 sekolah di Sabah mempunyai bilangan murid yang sedikit iaitu kurang daripada 20 orang bagi sesi persekolahan tahun 2026 dan dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).
Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai, Kinabatangan yang tular baru-baru ini apabila mempunyai murid paling sedikit iaitu seramai empat orang pada sesi persekolahan tahun ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, setakat Ogos tahun lalu, terdapat sebanyak 390 sekolah SKM di negeri ini.
"Namun untuk tahun ini terdapat 19 sekolah yang muridnya hanya di bawah 20 orang dan jumlahnya adalah melibatkan keseluruhan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.
"Paling sedikit adalah seramai empat orang iaitu di SK Desa Permai, Kinabatangan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan, sejumlah 18 lagi sekolah mempunyai bilangan murid antara enam hingga 20 orang.
"Sekolah itu terletak di Keningau melibatkan SK Mamagun terdapat seramai 20 murid, dan SK Nangkawangan (20), SK Ruminding, Kota Kinabalu (16), SK Janang (18) dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Augustine (13) di Kuala Penyu.
"Di Penampang, SK Longkogungon (8) dan SK Terian (11), SK Saliliran, Pensiangan (16), SK Longut (18) dan SK Tiang (13) di Ranau, tiga sekolah di Sandakan iaitu SK Bongon Besar (13), SK Pamaguan (16) dan SK Pitas (10).
"Sementara itu di Semporna, SK Pulau Omadal hanya 14 murid dan SK Kapulu, Tenom (14) serta tiga lagi sekolah di Tuaran iaitu SK Poring (6), SK Sambah (9) dan SK Sungoi (19)," katanya.
Walaupun kesemua sekolah berkenaan mempunyai bilangan murid di bawah 20 orang, Raisin menegaskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah kekal komited memastikan murid yang bersekolah di SKM menerima pendidikan yang terbaik dan berkualiti.
Sebelum itu, Sinar Bestari melaporkan video tular mengenai suasana di SK Desa Permai yang terletak di pedalaman Kinabatangan, hanya menerima tiga murid pada hari pertama sesi persekolahan yang bermula Isnin lalu.
Rakaman tersebut mencuri perhatian ramai warga maya dan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk menyifatkan suasana pembelajaran yang tenang tanpa kehadiran ramai murid berbeza dengan kebanyakan sekolah lain.
Ringkasan AI
- Sebanyak 19 sekolah di Sabah mempunyai bilangan murid kurang daripada 20 orang bagi tahun 2026
- Sekolah Kebangsaan Desa Permai mempunyai bilangan murid paling sedikit iaitu empat orang
- Terdapat 390 sekolah SKM di Sabah setakat Ogos tahun lalu
- Lapan belas sekolah lain memiliki murid antara enam hingga 20 orang
- Jabatan Pendidikan Negeri Sabah komited memastikan kualiti pendidikan yang terbaik untuk murid di SKM