Hui Ying
Hui Ying

22,327 pengambilan guru secara ‘one-off’ dan kluster mata pelajaran dalam tempoh 3 tahun - Hui Ying

ROSHLAWATY MD RAIEH
29 Mar 2023 04:37pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru yang melibatkan 148 bidang pengkhususan bermula dari tahun 2021 hingga Januari tahun ini.

Pengambilan yang digunakan melalui kaedah ‘one-off’ dan kluster mata pelajaran itu merupakan salah satu strategi dalam memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, beberapa bidang pengkhususan telah diberi perhatian antaranya Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah.

Jelasnya, urusan pengambilan tersebut akan berterusan bagi 2023 dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah-sekolah.

"Lanjutan daripada itu, penyediaan unjuran ambilan guru baharu 2023 hingga 2027 bagi bekalan sekolah menengah dan sekolah rendah, KPM telah disediakan berdasarkan data pada 31 Disember 2022.

"Data unjuran ambilan guru baharu sekolah KPM secara keseluruhan bagi 2023 hingga 2027 adalah antara 16,886 hingga 20,081 guru.

"KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan," katanya.

Ujarnya lagi, urusan pengambilan dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun.

Artikel Berkaitan:

Hui Ying berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah ( Indera Mahkota) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Saifuddin telah meminta KPM menjelaskan apakah status pengambilan guru baharu 2022 dan perincian pengambilan guru mengikut opsyen mata pelajaran bagi 2016 hingga 2022 serta unjuran pengambilan guru bagi 2023 hingga 2027.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok