ptptn
ptptn

28,278 pelajar IPTA terima manfaat PTPTN

Adlan Farhan Azwan
14 Oct 2022 09:46am
A
A
A

Seramai 28,278 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Oktober 2022 bakal menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebanyak RM1,500 akan diberikan kepada setiap pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima bantuan itu melalui saluran PTPTN selain memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Menurut Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff, inisiatif pemberian WPP PTPTN itu adalah bagi membantu menampung sebahagian perbelanjaan persiapan awal pelajar baharu memasuki IPTA.

“PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA sekali gus memastikan tiada pelajar yang terlepas peluang untuk ke IPTA.

“Tahniah kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke menara gading dan diharapkan WPP PTPTN yang diterima pelajar ini digunakan dengan sebaik mungkin.

“Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Sejak diperkenalkan pada 1999 sehingga 31 Ogos lalu, seramai 954,465 pelajar sudah menerima manfaat WPP dengan peruntukan berjumlah RM1.41 bilion.

Tempoh sah laku WPP itu adalah selama dua bulan bermula 5 Oktober hingga 5 Disember ini dan pelajar yang berjaya kini sudah boleh membuat pengeluaran WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar.

Pelajar yang membuat permohonan pinjaman PTPTN bagi tempoh 1 September hingga 30 September lalu sudah boleh membuat semakan kelulusan pinjaman.

Bagi yang masih belum mengemukakan permohonan, pelajar boleh membuat demikian secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober ini bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan.

Pelajar juga boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh didapati dengan melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi mudah alih myPTPTN.

Artikel berkaitan

Minat sambung diploma di IPTS, mohon segera wang pendahuluan PTPTN

Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian

Dua elaun pelajar tajaan Petronas dinaikkan serta-merta


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok