Kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Gambar kecil: Mohd Na'im.
Kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan. Gambar kecil: Mohd Na'im.

28,531 calon peroleh 8A UPKK 2023

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
18 Apr 2024 12:37pm

Seramai 28,531 atau 12.37 peratus calon yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2023 seluruh negara tahun ini berjaya memperoleh agregat 8A.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, calon yang mendapat agregat 7A pula seramai 18,185 orang dengan peratusan 7.89 peratus.

“Bagi agregat 6A, murid yang mendapatnya berjumlah 19,606 calon (8.50 peratus) dan 5A (25,697 orang dengan peratusan 11.14 peratus).

“Seterusnya 4A (28,422 orang); 3A (48,031); 2A (28,460); 1A (14,542) dan semua D (14 calon).

“Manakala mereka yang tidak mendapat sebarang gred A berjumlah 22,302 calon dengan peratusan 9.67 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Tahun 2023 di Ruang Legar, Kompleks Islam Putrajaya, pada Khamis.

Pengumuman yang dibuat secara langsung menerusi facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Dr Ruslan Said dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Hadir sama Pengarah-pengarah Bahagian di Jakim dan Pengarah-Pengarah Agensi Pelaksana Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Negeri.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.

“Harapan kami agar murid-murid yang mengikuti kelas KAFA ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang,” tuturnya.

Terdahulu, seramai 230,587 calon telah hadir untuk menduduki UPKK 2023 berbanding 234,931 dalam UPKK 2022.

Bagi petugas peperiksaan pula, seramai 19,484 telah dilantik berbanding 14,606 petugas UPKK 2022.

Pertambahan 4,878 petugas peperiksaan merupakan inisiatif bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pengoperasian peperiksaan dari semasa ke semasa.

Manakala 6,159 petugas pemeriksaan pula dilantik kali ini berbanding 6,662 dalam peperiksaan terdahulu.

UPKK 2023 melibatkan lapan mata pelajaran iaitu Bidang Pengajian al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Adab (Akhlak Islamiyah); Jawi, Imlak dan Khat; Asas Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.

Sementara itu, Mohd Na'im memberitahu, Gred Purata Skor (GPS) peperiksaan tersebut menunjukkan peningkatan berdasarkan Laporan Analisis Keputusan UPKK 2023 iaitu 1.89 berbanding 1.99 bagi UPKK 2022.

Katanya lagi, GPS bagi setiap mata pelajaran yang diduduki calon juga turut menunjukkan peningkatan.

Beliau turut berkongsi dua mekanisme yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga yang ingin membuat semakan keputusan UPKK 2023 anak masing-masing.

“Mereka boleh melayari laman sesawang di pautan https://semakan.islam.gov.my/ dengan menggunakan nombor MyKad dan nombor angka giliran.

“Selain itu, semakan juga boleh dibuat menggunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPKK jarak No MyKad jarak No Angka Giliran dan hantar ke 15888," jelasnya.

Akhir sekali, Mohd Na'im melahirkan rasa syukur kerana pengoperasian UPKK 2023 berjalan dengan lancar dan baik.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan peperiksaan ini dengan penuh bertanggungjawab dan dedikasi,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp