31 Disember depan tarikh akhir tebus baucar buku KPM, jangan terlepas!
Sejumlah RM118.7 baucar buku telah ditebus pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) daripada keseluruhan peruntukan RM284 juta bagi tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berharap pelajar yang masih belum menebus baucar buku berkenaan untuk berbuat demikian sebelum tarikh akhir penebusannya pada 31 Disember depan.
"Kita masih ada masa tiga bulan dari Oktober hingga 31 Disember nanti iaitu tarikh akhir penebusan baucar buku tahun ini. Saya menyeru supaya pihak sekolah membantu anak-anak kita untuk menggiatkan lagi penebusan baucar buku ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin.
Pada 30 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM50 untuk murid Tahun 4 hingga Tahun 6, manakala RM100 untuk pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan lain di bawah KPM.
Kah Woh berkata, penebusan baucar buku itu dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) melibatkan penjual buku berdaftar dengan KPM yang akan menjalankan urusan jual beli menerusi platform tersebut.
"Untuk vendor (penjual buku) yang masuk, kita akan pastikan kesemua buku yang dijual di platfrom DELIMa bersesuaian dengan anak-anak kita," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peratusan enrolmen pelajar memasuki bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berdasarkan statistik kebangsaan menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tiga tahun ini iaitu 50.83 peratus setakat Julai lepas berbanding 40.95 peratus pada 2021.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis kerana menjadi negeri pertama mencapai peratusan enrolmen STEM lebih daripada 60 peratus bagi dua tahun berturut-turut.
"Bermula 2023, saya difahamkan (peratusan enrolmen STEM di Perlis) 65 peratus dan tahun ini 63 peratus, ia melebihi matlamat atau sasaran kebangsaan iaitu sebanyak 60 peratus," kata Kah Woh.
Dalam pada itu, Kah Woh berkata, tahun ini KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri telah memperuntukkan RM280,000 kepada SMK Perlis bagi tujuan penyelenggaraan serta tambahan RM30,000 untuk aktiviti meningkatkan perkembangan pelajar dari segi akademik dan kokurikulum.
"Peruntukan tambahan itu digunakan untuk tujuan program pemecutan prestasi calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 2024 (iaitu sebanyak) RM10,000 manakala lagi RM20,000 untuk tujuan kokurikulum khususnya pembangunan kelab yang melibatkan tarian singa, gendang 24 musim dan gamelan," katanya. - Bernama