KPM pastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh peperiksaan. (Gambar hiasan)
KPM pastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh peperiksaan. (Gambar hiasan)

4,443 calon sedia hadapi peperiksaan STAM 2025

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
05 Nov 2025 05:30pm

Seramai 4,443 calon di seluruh negara bakal menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 yang akan berlangsung dari 12 hingga 24 November ini.

Peperiksaan yang dijalankan di 135 pusat peperiksaan itu, dikendalikan oleh 852 petugas peperiksaan yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut kenyataan KPM, semua calon diingatkan supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi memastikan mereka mengetahui tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas yang perlu diduduki. Jadual boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.

Selain itu, calon diwajibkan membawa dokumen pengenalan diri serta Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Keselamatan calon diberi keutamaan

KPM turut menegaskan pihaknya cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan, khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan seperti bencana alam atau penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI).

Bagi situasi kecemasan, calon diminta segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika terlibat atau terkesan dengan sebarang kejadian tidak dijangka. Mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan atau JPN negeri bagi mendapatkan bantuan lanjut.

KPM dalam kenyataan itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan peperiksaan STAM 2025 berlangsung dengan lancar, teratur dan selamat demi menjamin kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seramai 4,443 calon bakal menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 12 hingga 24 November 2025
  • Peperiksaan STAM 2025 dijalankan di 135 pusat dengan bantuan 852 petugas peperiksaan
  • Calon diingatkan untuk merujuk jadual waktu peperiksaan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan
  • Penting untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan
  • KPM menekankan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas sebagai keutamaan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp