
8 daerah masih perlukan bilik multisensori di Perak
Sekolah-sekolah di lapan daerah di Perak masih memerlukan bilik multisensori bagi membantu perkembangan murid Pendidikan Khas terutama dalam kalangan autisme.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Safuan Raba’ai berkata, setakat ini hanya sekolah di tiga daerah iaitu Larut Matang Selama, Kinta Utara dan Kinta Selatan sudah mempunyai bilik multisensori.
Menurutnya, daerah Kinta Utara mencatatkan jumlah murid autisme tertinggi iaitu seramai 783 orang, sekali gus menjadi kawasan yang paling memerlukan kemudahan tersebut.
"Bilik multisensori sangat penting bagi membantu murid autisme menstabilkan emosi dan memperkembangkan potensi diri mereka.
"Justeru, kita berharap lebih ramai pihak tampil memberi sumbangan bagi membolehkan sekurang-kurangnya setiap daerah mempunyai satu bilik multisensori," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Naungan Kasih Sentuhan Autisme Perak 2025 anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak di Taman DR Seenivasagam pada Sabtu.
Program tersebut disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dengan turut diiringi isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Noorzita Raba’ai berkata, program kali ini berjaya mencapai sasaran mewujudkan tiga bilik multisensori baharu di daerah Kinta.
"Alhamdulillah, matlamat kami tercapai dengan penubuhan sebuah bilik multisensori snoezelen yang dijangka siap hujung tahun ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam.
"Selain itu, dua lagi bilik multisensori integrasi diwujudkan di Sekolah Coronation Park dan SK Sri Sentosa," katanya.
Menurutnya, kos bagi menubuhkan sebuah bilik multisensori dianggarkan antara RM30,000 hingga RM50,000.
"Dengan adanya bilik multisensori ini, kita berharap ia dapat memberi manfaat besar kepada anak-anak autisme khususnya di Perak.
"Program ini juga mendapat sokongan padu daripada JPN Perak, agensi lain dan kehadiran lebih 500 peserta pada hari ini membuktikan komitmen bersama terhadap pendidikan anak istimewa," katanya.
Ringkasan AI
- Sekolah di lapan daerah di Perak memerlukan bilik multisensori untuk murid pendidikan khas autisme
- Hanya tiga daerah iaitu Larut Matang Selama, Kinta Utara dan Kinta Selatan yang sudah memiliki bilik multisensori
- Kinta Utara mencatat jumlah murid autisme tertinggi dengan 783 orang
- Bilik multisensori penting untuk membantu murid autisme menstabilkan emosi dan memperkembangkan potensi
- Kos pembinaan bilik multisensori dianggarkan antara RM30,000 hingga RM50,000