
Childfree: Naratif baharu dalam kalangan masyarakat - Pandangan mahasiswa UMT
Childfree merujuk kepada individu atau pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak sepanjang hayat mereka.
Di peringkat global, fenomena ini semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan pasangan yang telah atau bakal mendirikan rumah tangga.
Pilihan ini mencerminkan perubahan dalam nilai masyarakat khususnya yang memberi penekanan kepada pencapaian pendidikan, kebebasan peribadi serta hak individu dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka.
Keadaan sosioekonomi semasa telah mendorong sebilangan pasangan untuk menilai semula keutamaan dalam kehidupan berkeluarga, malah wujudnya pasangan yang memilih pendekatan yang berbeza termasuk membuat keputusan untuk tidak memiliki anak.
Bagi segelintir individu, keputusan untuk tidak menimang cahaya mata bukanlah penolakan terhadap institusi kekeluargaan.
Sebaliknya, ia dilihat sebagai satu bentuk perancangan yang lebih rasional demi menjamin kehidupan yang lebih stabil, tersusun dan terkawal dari segi kewangan.

Kewujudan naratif baharu seperti childfree turut dipacu oleh pendedahan meluas di media sosial khususnya dalam kalangan generasi muda.
Platform digital menjadi ruang kepada individu untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan gaya hidup tanpa anak secara terbuka.
Meskipun sesetengah pihak melihatnya sebagai bertentangan dengan nilai konvensional, ia juga membuka ruang wacana baharu yang lebih inklusif terhadap kepelbagaian pilihan hidup.
Fenomena ini mencabar stereotaip bahawa kebahagiaan berumahtangga hanya boleh dicapai melalui kehadiran cahaya mata.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkahwinan dan keinginan untuk mempunyai anak adalah antara tujuan penting dalam Islam.
Namun begitu, Islam tidak mewajibkan dan tidak juga melarang pasangan daripada memiliki anak.
Jika suami dan isteri sama-sama bersetuju untuk tidak mempunyai zuriat atas sebab yang munasabah, maka ia dibenarkan.
Keputusan untuk tidak memiliki anak adalah dibenarkan jika dibuat atas alasan yang diterima oleh syarak seperti risiko kesihatan, penyakit serius atau beban kewangan yang berat.
Namun, kaedah mencegah kehamilan mestilah selamat dan mematuhi garis panduan Islam.
Sebaliknya, jika keputusan itu dibuat semata-mata untuk mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab, maka ia dianggap makruh.
Tambahan pula, jika keputusan untuk kekal childfree dibuat atas dasar ideologi yang menolak fitrah kemanusiaan dan tujuan utama perkahwinan, ia bertentangan dengan maqasid al-syariah serta tidak selari dengan Sunnah Rasulullah.
Pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak secara kekal melalui kaedah pemandulan atau pengguguran tanpa pengesahan perubatan yang sah dan tidak berlandaskan syariah pula adalah dilarang.
Tambahan pula, menurut Vital Statistics Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kadar kesuburan (total fertility rate) negara mencatatkan sedikit peningkatan daripada 1.6 kepada 1.7 anak bagi setiap wanita dalam usia subur (15 hingga 49 tahun) antara tahun 2022 dan 2023.
Kadar 1.6 yang dicatatkan pada tahun 2022 adalah yang paling rendah dalam sejarah demografi negara dalam tempoh 50 tahun.
Meskipun menunjukkan peningkatan, angka ini masih berada di bawah replacement-level fertility iaitu 2.1 anak bagi setiap wanita, yang merupakan kadar minimum yang diperlukan untuk mengekalkan saiz penduduk sesebuah negara tanpa bergantung kepada migrasi.
Tidak memiliki anak adalah satu keputusan besar dalam kehidupan berumahtangga yang perlu diambil dengan penuh hikmah.
Islam sentiasa menekankan keutamaan ilmu, musyawarah dan tanggungjawab dalam setiap keputusan.
Kesejahteraan rumahtangga terletak pada keutuhan hubungan, saling memahami serta usaha membina kehidupan yang diredai ALLAH SWT, tanpa mengabaikan hikmah sebenar institusi perkahwinan.
Maklumat penulis:
Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Nur Ainaa Afiqah Muhamad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my