HW18102207
HW18102207

Al Kauthar Eduqids jalin kerjasama dengan KTAC

Norliza Wasilan
20 Oct 2022 05:01pm
A
A
A

Al Kauthar Eduqids, sebuah tadika berkonsep Islamik memeterai jalinan kerjasama dengan Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC) bagi membolehkan pelajar dan lepasan kolej berkenaan menjalani latihan industri seterusnya diserap terus sebagai guru.

Menerusi jalinan kerjasama itu, tadika swasta berkenaan akan menempatkan mereka di lebih 100 cawangan yang dimilikinya di seluruh negara.

Pengasas Al Kautsar Eduqids yang juga pasangan suami isteri, Bakhtiar Aliff dan Nor Fadilah. Foto/ Mohd Halim Abdul Wahid.

 

Menurut Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids, Datuk Bakhtiar Aliff Ibrahim,  sebagai permulaan, dianggarkan lebih 170 graduan bidang pendidikan awal kanak-kanak daripada kolej berkenaan akan diserap sebagai guru tadika dan taska.

“Akhir November ini akan ada lebih 170 graduan yang akan keluar daripada Cybernetics (KTAC), kami akan serap mereka ke seluruh cawangan di seluruh Malaysia.

“Antara peranan utama kami ialah memberi peluang kepada KTAC menempatkan pelajar atau lepasan mereka  sebagai pelatih industri atau memberi khidmat sokongan di Al Kauthar Eduqids (tertakluk kepada syarat kelayakan) bagi suatu tempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Mereka adalah pengeluar bidang akademik dan kami pula industri, kami sebagai pemain industri akan berkongsi pengalaman mengenai apa yang dimahukan pasaran, apa yang industri perlukan dan apa yang perlu ditambah baik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini,” ujarnya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara  Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd dan KTAC, di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Bakhtiar Aliff menyerahkan cenderamata kepada Mazlan. Foto/Mohd Halim Abdul Wahid.

Pada majlis berkenaan, Bakhtiar Aliff mewakili Al Kauthar Eduqids, manakala KTAC diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Mazlan Abdullah.

Hadir sama, Pengasas serta Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids yang juga isteri Bakhtiar Aliff iaitu Datin Nor Fadilah Alias.

Al Kauthar Eduqids adalah tadika swasta yang memulakan operasinya pada September 2013 dan kini mempunyai 170 cawangan di seluruh Lembah Klang, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Johor, Terengganu serta Sabah.

Mereka menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 300 cawangan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Al Kauthar menawarkan tempat pembelajaran untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dengan program Pra Tahfiz dan Montessori.

Bagi kanak-kanak berusia setahun hingga tiga tahun pula, mereka akan didedahkan dengan program Playschool dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Al Kauthar Eduqids yang memiliki lebih 500 pendidik dan 6,000 pelajar di seluruh negara menerima pelbagai pengiktirafan antaranya Jenama Pilihan Pa&Ma, SME Entrepreneur Business Awards, Malaysian Prestigious Industry Awards, Superbrands Malaysia’s Choice, The Brand Laureate dan Baby Talk Readers’ Choice Awards.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Al Khauthar Eduqids Sdn Bhd dan KTAC. Foto/Mohd Halim Abdul Wahid.

Mengulas lanjut, Bakhtiar Aliff memaklumkan, Al Kauthar Eduqids juga akan mendedahkan pelajar dan lepasan KTAC mengenai aspek keusahawanan untuk menjadi pengusaha tadika.

Ujarnya, selain kepakaran dalam mendidik kanak-kanak, guru tadika seharusnya turut sama melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri seorang usahawan.

“Kami mempunyai misi… kami tidak mahu graduan ini tidak nampak hala tujunya, mereka sepatutnya melihat diri mereka sebagai pengusaha tadika.

“Ini kerana, kami melihat sepanjang berada dalam industri ini, cikgu tadika ini hala tujunya terbantut dan hanya nampak diri mereka sebagai guru saja.

“Dia tidak nampak yang sepatutnya dalam tempoh lima tahun atau sepuluh tahun akan datang di mana mereka berada… mereka ini sepatutnya menjadi seorang usahawan,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel berkenaan

Jangan abaikan 7 tip penting ini untuk menjadi guru yang cemerlang

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok