Bajet 2023: KPM terima peruntukan terbesar berjumlah RM55.6 bilion
Bajet 2023: KPM terima peruntukan terbesar berjumlah RM55.6 bilion

Bajet 2023: KPM terima peruntukan terbesar berjumlah RM55.6 bilion

Roshlawaty Md Raieh
07 Oct 2022 06:39pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM55.6 bilion menerusi Bajet 2023 yang disampaikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Tahun lalu, KPM telah menerima peruntukan sebanyak RM52.3 bilion bagi Bajet 2022.

Menurut Tengku Zafrul, pecahan peruntukan itu terbahagi kepada pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua murid tanpa mengira pendapatan ibu bapa; Rancangan Makanan Tambahan (RMT); penyediaan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat serta membina lima buah sekolah baharu.

Dalam pengumuman itu, untuk pemberian BAP, beliau berkata, bantuan tersebut akan dipertingkatkan daripada RM100 kepada RM150 setiap murid.

Ujarnya, bantuan itu akan disalurkan pada Januari tahun depan dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.

“Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450,” jelasnya dan menambah peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun sebelumnya iaitu RM450 juta.

Selain itu katanya, sebanyak RM777 juta diperuntukkan bagi RMT dalam usaha memastikan murid-murid mendapat kandungan khasiat harian.

Peruntukan itu akan memanfaatkan seramai 813,393 orang murid.

Melalui peruntukan tersebut, harga bagi satu bahagian makanan dinaikkan sebanyak RM3.50 di semenanjung Malaysia berbanding RM2.50 sebelum ini.

Manakala di Sabah dan Sarawak pula, harga makanan di bawah RMT dinaikkan kepada RM4 berbanding RM3.

Tengku Zafrul turut mengumumkan RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat buat murid-murid sekolah dengan RM1.1 bilion daripada jumlah itu disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama.

Manakala RM1.2 bilion pula disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif terutamanya bagi menggantikan bangunan kayu lama untuk keselesaan khususnya anak-anak di Sabah dan Sarawak dengan melibatkan 123 projek di Sabah manakala 182 projek di Sarawak.

Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, beliau memaklumkan kerajaan akan membina lima sekolah baharu dengan kos RM430 juta pada tahun depan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Sabah; SMK Dudong, Sarawak; Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dusun, Terengganu; SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor.

Artikel berkaitan 

KPM lancar portal aduan buli

Segera naikkan kadar RMT

KPM perkasa pelantar DELIMa 2.0, gabung 3 aspek penting untuk pembelajaran menyeronokkan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok