DSC_9412
DSC_9412

Bank Rakyat sedia bekerjasama untuk program ASSSB akan datang

Norliza Wasilan
06 Oct 2022 03:11pm
A
A
A

Berikutan kejayaan penganjuran Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB), Bank Rakyat menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama menjayakan program sama pada masa akan datang.

Anugerah anjuran bahagian pendidikan Sinar Bestari, Sinar Harian itu mendapat tajaan Bank Rakyat sebagai usaha mengiktiraf kejayaan diraih sekolah bandar dan luar bandar di negara ini yang menepati ciri-ciri Skil, Mahir, Atribut, Relevan dan Teknologi.

Nizam Sani.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, pihaknya berharap kerjasama yang terjalin bersama Sinar Bestari dan Sinar Harian itu dapat diteruskan dan dipertingkatkan selepas ini.

Ujarnya, untuk program akan datang, pihaknya berharap mereka tidak sekadar hanya menjadi penaja tetapi juga turut aktif menjayakannya berdasarkan kepada kertas cadangan yang bakal dikemukakan.

“Pada pandangan saya, kami tidak melihatnya sebagai penaja saja, saya rasa tahun depan kami mahu bersama-sama masuk menyertai program berkenaan.

“Daripada situ, kesinambungan akan berterusan dan InsyaALLAH kami akan tengok dahulu kertas cadangan yang disediakan nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada Rabu.

Penerima Anugerah Sekolah S.M.A.R.T. Dari kiri, Guru Besar SK Pos Dipang (Anugerah Khas), Mohd Shir Afzal Khan; Pengetua SMK Aminuddin Baki, Zubidah Md Yunos Aap (kategori Sekolah Menengah - Bandar); Guru Besar SK Chopin, Hamzah Zakaria (kategori Sekolah Rendah - Luar Bandar); Pengetua SMK Saujana Utama, Noor Hayati Embong (kategori Sekolah Menengah - Luar Bandar) dan Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin (kategori Sekolah Rendah -Bandar).

Pada majlis berkenaan, lima sekolah diumumkan sebagai pemenang ASSSB membabit lima kategori iaitu Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Menengah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan juga Anugerah Khas Juri.

Bagi kategori Sekolah Menengah Bandar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai penerima anugerah, manakala SMK Saujana Utama, Selangor untuk kategori luar bandar.

Bagi kategori Sekolah Rendah Bandar pula, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah diumumkan sebagai pemenang manakala SK Chopin, Perak untuk kategori Sekolah Rendah Luar Bandar.

Keempat-empat penerima anugerah berkenaan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan siijil penyertaan.

Pada majlis itu juga, SK Pos Dipang, Perak dumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri dan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh bahagian Pendidikan Sinar Bestari itu perlu diteruskan memandangkan era digital kini semakin pesat dan pelajar perlu didedahkan kepada teknologi itu.

“Era digital ini sesuatu yang kita perlu hadapi, jadi adalah lebih baik jika ia dimulakan daripada peringkat awal (terutama pelajar sekolah).

“Bagi Bank Rakyat, ini satu inisiatif yang bagus dalam usaha memupuk pendedahan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan dalam platform digital,” ujarnya.

Artikel berkaitan

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB

Kecemerlangan SMK Bandar Utama Damansara 3 berjaya lahirkan atlet bertaraf dunia

Program #SchoolTourSPM bantu persediaan 160 pelajar duduki peperiksaan SPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok