Beza IKM dan KKTM
Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kian mendapat perhatian dalam kalangan pelajar berikutan peluang mendapat pekerjaan terbuka luas.
Ia menjadi rebutan lagi apabila banyak kajian menunjukkan kebolehpasaran graduan TVET Malaysia adalah lebih tinggi berbanding graduan universiti sama ada diploma, ijazah pertama, ijazah sarjana mahu pun doktor falsafah (PhD).
Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Isnin lalu, telah membuatkan ramai lepasan peperiksaan itu memilih untuk memohon pengajian TVET.
Cuma, ada dalam kalangan mereka masih samar-samar tentang definisi institusi pendidikan yang menawarkan program TVET.
Artikel kali ini, membincangkan tentang perbezaan antara IKM dan KKTM.
Perkongsian yang dipetik menerusi Facebook Nor Shazwani Shamshudin cukup lengkap dan tepat serta wajar dijadikan panduan kepada lepasan SPM yang ingin menyambung pengajian ke institusi pendidikan berkaitan.
*****
IKM ialah Institut Kemahiran Mara manakala KKTM ialah Kolej Kemahiran Tinggi Mara.
Sebelum kewujudan KKTM, Majlis Amanah Rakyat (Mara) terlebih dahulu menubuhkan IKM.
Sebagai contoh, IKM Johor Bahru, Johor adalah antara IKM tertua di Malaysia dan tahun lalu, telah menyambut Jubli Emas 50 tahun penubuhan.
Bayangkan berapa ramai pekerja kompeten dan orang hebat di pelbagai industri telah lahir dari sini.
Satu masa dahulu, IKM menfokuskan program peringkat sijil. Bagaimanapun seiring perubahan dan keperluan semasa, banyak program di IKM telah dinaik taraf kepada diploma.
Seperti di IKM Johor Bahru, bilangan program diploma lebih banyak daripada program sijil.
Manakala, KKTM dari awal kewujudan memang menawarkan program peringkat diploma.
Ada beza program diploma di IKM dan KKTM? Betul ke diploma di IKM tak setaraf dengan di KKTM?
Diploma di IKM dan KKTM adalah SETARA atau sama level.
Untuk makluman, di IKM dan KKTM ada pelbagai jenis diploma.
Ada Diploma Kejuruteraan, Diploma Teknologi Kejuruteraan, Diploma Kompetensi, Diploma Industri dan Diploma Teknousahawan.
Syarat kemasukan ke mana-mana program di IKM atau KKTM adalah sama. SETARA. Tak ada beza.
Contoh; syarat kemasukan ke Program Diploma Teknologi Kejuruteraan di IKM Johor Bahru dan Diploma Teknologi Kejuruteraan di KKTM Kemaman, Terengganu adalah sama.
Selain itu, masih ada program peringkat sijil di IKM seluruh Malaysia. Ada program Sijil Teknologi Kejuruteraan dan Sijil Teknologi.
Ada ruang untuk yang berbeza kemampuan dan kepandaian. Syarat layak memohon ke Sijil Teknologi lebih rendah berbanding Sijil Teknologi Kejuruteraan.
Kebolehan dan kemampuan pemohon kami rai dan hargai.
Jika tidak layak memohon ke IKM (program sijil) bermulalah di GiatMara Malaysia.
Kemudian datanglah bersama kami di IKM/ KKTM pula. Mohon ke IKM/ KKTM menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2/ 3 dari GiatMara.
Kalau ada SKM 2 GiatMara, boleh mohon ke program SKM 3 di IKM.
Kalau ada SKM 3 GiatMara, boleh mohon ke program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) 4 di IKM. Atau boleh juga ke program diploma di KKTM.
Kemudian, seterusnya ke peringkat ijazah, master, mahupun PhD di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atau Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Jalannya mungkin sedikit jauh, tetapi pasti sampai ke destinasi.
Apa persamaan IKM dan KKTM?
Persamaan dari sudut penjimatan kewangan; yuran pengajian ditanggung Mara, ada Elaun Sara Hidup (ESH) bulanan dan penginapan disediakan.
TVET untuk semua!