KPM menafikan tarikh keputusan SPM 2022 akan diumumkan pada 25 Mei ini.
KPM menafikan tarikh keputusan SPM 2022 akan diumumkan pada 25 Mei ini.

'Bukan 25 Mei' - Fadhlina

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
18 May 2023 09:10am

Kecoh di laman sosial satu kenyataan yang memaparkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan diumumkan pada 25 Mei ini.

Kenyataan yang dikatakan dari Kementerian Pendidikan (KPM) itu turut memaklumkan faktor keputusan SPM pada 25 Mei adalah disebabkan proses penandaan yang telah selesai lebih awal daripada jangkaan.

Malah info itu juga memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga supaya menyemak keputusan peperiksaan secara terus di sekolah atau melalui pautan disediakan tepat pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menafikan keputusan SPM 2022 akan diumumkan minggu depan.

Katanya, satu kenyataan penafian penuh akan dikeluarkan KPM dalam masa terdekat.

Sementara itu, KPM menerusi laman Facebooknya turut memuat naik hantaran berhubung perkara tersebut.

“Sebarang kenyataan rasmi hanya akan disampaikan menerusi portal dan laman media sosial rasmi KPM. Semak berita palsu, tidak pasti jangan kongsi,” tulis hantaran tersebut.

Seramai 403,637 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 yang bermula 20 Februari hingga 15 Mac lalu melibatkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

KPM memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

Dalam peperiksaan tersebut, calon-calon telah menduduki beberapa kertas antaranya Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2; Pendidikan Seni Visual-Teori Seni; Bahasa Inggeris Kertas 1 dan Kertas 2 serta Tasawwur Islam.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp