KBS-TVET-SINARBESTARI-2023
KBS-TVET-SINARBESTARI-2023

Cadang penstrukturan semula program TVET, elak pertindihan, pembaziran

nadzarul.amir
27 Jan 2023 02:38pm
A
A
A

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menstruktur semula program Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ada bagi mengelakkan pertindihan dan pembaziran dalam pelaksanaannya..

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, program TVET yang kini dilaksana pelbagai kementerian perlu dikendalikan satu kementerian sahaja.

“TVET ini dilaksana pelbagai kementerian yang mempunyai program masing-masing sehingga menimbulkan kekeliruan buat pemain industri selepas mereka tamat latihan dari sudut penggajian dan sebagainya.

“Semua kementerian tidak perlu membuat program TVET masing-masing kerana ia akan nampak tidak terurus selain tidak fokus serta akan ada pembaziran berlaku,” katanya semasa merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang Kedua (MBPN) di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Sebagai contoh, beliau menjelaskan, jika satu kementerian memperuntukkan RM50 juta bagi tujuan menaik taraf program TVET, namun pengambilan pelajar itu tidak mencapai tahap maksimum, ia akan menjurus kepada pembaziran dari segi tenaga kerja pada masa depan.

Beliau berkata, KBS pada masa sama sedia bekerjasama membantu KSM bagi tujuan penstrukturan semula itu dan berpendapat program dilaksanakan dalam TVET juga perlu kekal relevan dengan permintaan golongan belia masa kini.

“Ada banyak program mungkin popular masa zaman saya bersekolah tetapi sekarang dengan adanya ekonomi gig ramai belia mementingkan soal waktu kerja fleksibel.

“Pandangan mereka kini juga sudah berbeza terhadap TVET, kalau kita masih buat program tidak menarik perhatian sudah tentu tidak dapat penyertaan menyeluruh golongan belia,” ujarnya. -Bernama

Artikel berkaitan

Norasmah Tokoh TVET POLIMAS

11 pensyarah kongsi ilmu dan kepakaran menerusi program English TVET

Kadar kebolehpasaran graduan TVET KPLB melebihi paras nasional

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok