
Cadangan tamat sekolah umur 16 tahun: Wajar atau belum bersedia?
Cadangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli agar persekolahan berakhir pada umur 16 tahun mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya warga pendidik dan ibu bapa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan menyuarakan pandangan tersebut ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Katanya, sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun kerana satu, kita adalah negara menua.
"Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan lebih awal iaitu sekitar umur 21 tahun," ujarnya.
Saranan Rafizi itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen.
Ada yang menyambut baik idea tersebut sebagai satu langkah reformasi, namun tidak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan tentang kesediaan pelajar untuk menghadapi cabaran kehidupan selepas sekolah.
Seorang pengguna media sosial menulis: "Bukan semua pelajar matang pada umur 16 tahun. Ada yang masih perlukan bimbingan rapat. Jika keluar awal, mereka mungkin terdedah kepada risiko sosial."
Namun ada juga yang bersetuju: "Bagus juga. Daripada duduk sekolah lama-lama tapi tak minat belajar, baik masuk latihan kemahiran atau kerja dan bina pengalaman awal."
Seorang pengguna dikenali Zaiton Ismail menyokong dengan saranan itu. Reaksinya di Facebook: "Tadika berumur lima tahun. Tahun Satu berumur enam tahun. Belajar hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berumur 16 tahun. Setuju sebab anak-anak sekarang lebih cerdik."
Mohd Ikram Jabilin pula menambah: "Saya setuju. Zaman sekarang ini, lagi cepat orang masuk dunia sebenar lagi bagus untuk potensi diri dia."
Seterusnya, Nik Mahyuddin pula berpendapat: "Tengok juga anak yang duduk di kawasan pedalaman, tiada pendedahan ilmu dan teknologi yang mendalam. Kalau kita yang tinggal di bandar ini mungkin anak sudah bijak. Namun keciciran pelajaran budak di kampung pasti terkesan. Tambah-tambah lagi kemudahan pelajaran juga terhad."
Manakala pandangan Muhammad Anwar Azwan pula berbunyi begini: "Bagus sebenarnya dari sudut pandang untuk negara maju. Tapi sistem pendidikan kena berubah total. Kena wajibkan setiap tahun ada Ujian Penilaian Standard satu Malaysia bagi melepasi keupayaan penguasaan pelajar. Aliran pembelajaran dalam sektor tertentu perlu dilaksanakan seiiring dengan keputusan penilaian. Pada masa yang sama buat amalan teori dan praktikal bagi menempuh alam pekerjaan atau ke tahap Pendidikan Tinggi. Dunia moden sekarang semua dihujung jari. Yang paling penting agama, etika, adab dan akhlak disemai dahulu."