

Contohi inovasi Korea Selatan
Pendekatan pendigitalan dan inovasi Korea Selatan wajar dicontohi kerana berjaya membentuk budaya rakyatnya yang mencintai sains serta teknologi sejak di bangku sekolah hingga mereka mampu melahirkan syarikat gergasi seperti Samsung dan Hyundai.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Murad Nordin berkata, pengalaman diperoleh sepanjang menyertai program KTO x GTO x JTB 2025 Education Fam Trip for Malaysia Schools selama enam hari bermula 15 September lalu menunjukkan negara itu amat mementingkan inovasi dalam pendidikan bagi memastikan pelajarnya menguasai ilmu, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, sistem pendidikan di Korea Selatan berbeza kerana menawarkan pilihan subjek lebih luas dan mengutamakan pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara menyeluruh.

“Mereka memastikan setiap pelajar mempunyai peluang, minat dan didorong untuk mengambil subjek STEM.
"Inovasi yang menjadi budaya rakyat Korea Selatan ini turut dibawa masuk ke dalam syarikat besar supaya mereka kekal sebagai masyarakat yang mencipta dan mencintai sains serta teknologi,” jelas beliau.
Tambahnya, kewajipan mengambil mata pelajaran berkaitan teknologi dan sains sejak di sekolah menengah telah membina asas yang kukuh, membolehkan generasi muda Korea Selatan lebih bersedia mendepani cabaran global.
Menurutnya, sistem itu bukan sahaja melahirkan pelajar yang mahir, malah menyokong pembangunan ekosistem inovasi sehingga menjadi budaya nasional di negara berkenaan.
Justeru, beliau mencadangkan pertukaran pelajar ke Korea Selatan atau negara-negara lain yang mempunyai sistem pendidikan STEM dilaksanakan secara lebih meluas.
“Ia peluang sangat baik untuk memotivasikan pelajar Malaysia, membuka minda mereka dan melihat sendiri bagaimana STEM diamalkan di negara luar sehingga berjaya mencipta inovasi,” katanya yang juga Yang Dipertua Persatuan Pengetua-pengetua Sekolah Malaysia (PPSM) Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nooren Zeeana Azis berkata, pendekatan pendidikan Korea Selatan menarik kerana universiti memberi peluang kepada pelajar berdasarkan minat, bukan semata-mata pencapaian akademik.

Menurutnya, sokongan agensi-agensi dan pihak industri menjadikan pelajar lebih bermotivasi untuk belajar.
“Untuk pertukaran pelajar, bagi saya ia boleh dilakukan secara dalam talian terlebih dahulu supaya lebih ramai mendapat peluang tersebut tanpa halangan kewangan,” katanya.
Ketua Sektor Sokongan dan Pembangunan Murid (SSPM) Centre Learning Of Excellent, Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), Mohd Iswan Mansor pula berpendapat, kejayaan Korea Selatan bermula dengan memupuk minat murid sejak awal persekolahan.
"Di Malaysia, ada aliran tertentu yang kadang-kadang tidak selari dengan minat pelajar hingga menyebabkan mereka seperti terpaksa belajar.
"Kita boleh contohi Korea Selatan dengan sediakan laluan minat ini daripada awal supaya perkembangan minat pelajar berlaku lebih semulajadi,” katanya yang juga guru subjek Kimia di Sekolah Menengah Islam Hira dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira' di Selangor.
Menonjolkan nilai budaya
Program KTO x GTO x JTB 2025 Education Fam Trip for Malaysia Schools bertujuan memperkenalkan potensi Korea Selatan dalam bidang pendidikan masa depan, di samping memperlihatkan nilai budaya dan peluang pertukaran sekolah.

Program itu juga memberi pengalaman langsung mengenai pendekatan Korea Selatan dalam pendidikan moral, inovasi dan pembelajaran STEM menerusi lawatan ke institusi yang menumpukan kepada robotik, pengaturcaraan, makmal sains serta bilik darjah berteknologi tinggi, sekali gus menjadikan negara itu destinasi ideal bagi pelajar yang ingin merasai pengalaman pendidikan STEM yang bermakna.
Menurut KTO, dengan sokongan infrastruktur moden, muzium interaktif dan lokasi pembelajaran berasaskan pengalaman, Korea Selatan menawarkan peluang pembelajaran yang kaya serta mendalam, membolehkan pelajar menghubungkan ilmu di bilik darjah dengan aplikasi dunia sebenar.
“Peluang ini bukan sahaja mencetuskan kreativiti dan memperdalam pemahaman, malah turut membantu mengukuhkan hubungan antara sekolah di Korea Selatan dan Malaysia,” katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan JTB, Akira Iwasaki pula berkata, Korea Selatan dipilih kerana kemajuan teknologinya yang pesat.
“Mereka sudah pun mempunyai kereta hidrogen pertama. Ini membuktikan kehebatan mereka dalam dunia teknologi.
"Inilah tujuannya, bagi membuka mata pihak berkaitan untuk mengimplementasi idea, melakukan penambahbaikan atau pengubahsuaian dalam sistem pendidikan kita sekarang,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pendekatan pendigitalan dan inovasi Korea Selatan membantu membentuk budaya masyarakat yang mencintai sains dan teknologi
- Sistem pendidikan di Korea Selatan menawarkan pilihan subjek luas dengan penekanan pada STEM
- Pelajar didorong untuk mengambil mata pelajaran teknologi dan sains dari sekolah menengah, membina asas yang kukuh
- Program pertukaran pelajar dinilai dapat memotivasikan dan membuka minda pelajar Malaysia tentang praktik STEM di luar negeri
- Infrastruktur moden dan teknologi di Korea Selatan menawarkan peluang pembelajaran mendalam yang menghubungkan teori dengan aplikasi praktikal