
Karya kertas: Belajar sejarah, seni dan inovasi wang kertas
Pernahkah anda terfikir bahawa wang kertas yang tersimpan di dompet bukan sekadar medium membeli-belah, tetapi sebenarnya menyimpan kisah budaya, sejarah dan identiti negara? Itulah pengalaman baharu yang dibawa oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) menerusi pameran bergerak terbarunya, ‘Karya Kertas: Seni Mata Wang’.
Bertempat di Galeri Seni Johor, Yayasan Warisan Johor, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, pameran ini dibuka mulai 19 Ogos lalu hingga 18 Februari 2026. Ia mengetengahkan keindahan seni dan inovasi teknologi di sebalik helaian wang kertas dari seluruh dunia.
Melalui konsep liku selirat wang kertas gergasi, pengunjung termasuk para pelajar berpeluang menerokai koleksi terpilih 30 wang kertas, lengkap dengan teknologi realiti terimbuh (AR) yang menghidupkan elemen reka bentuknya.

Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, wang kertas bukan sekadar alat pembayaran tetapi juga artifak budaya dan simbol negara.
“Wang kertas mencerminkan identiti, warisan serta tradisi kita. Dengan pameran ini, kami mahu mengungkap kisah di sebalik karya seni berkenaan, selain memberi peluang pengunjung terutamanya generasi muda menghargai keindahan dan legasi yang tersimpan di dalam dompet kita,” katanya.
Selain menampilkan kepelbagaian reka bentuk, pameran ini juga mengetengahkan inovasi keselamatan wang kertas dalam bilik gelap khas, sekali gus memberi kefahaman bagaimana ciri canggih melindunginya daripada pemalsuan.
BNM MAG turut menyelitkan aspek kelestarian dan usaha ke arah sistem pembayaran digital dalam pameran ini.

Menariknya, pelajar yang datang juga berpeluang mencuba sendiri proses kreatif menerusi aktiviti interaktif di Ruang Rekaan Wang Kertas. Di sini, mereka boleh merasai pengalaman sebagai pereka wang kertas, lengkap dengan alatan serta model tiga dimensi ruang kerja sebenar.
Secara tidak langsung, pameran ini bukan sahaja membuka ruang penghayatan seni dan sejarah, malah membantu pelajar memupuk kreativiti, kefahaman teknologi serta semangat menghargai warisan negara.