Dana tambahan kepada UniKL untuk latihan kepada pensyarah TVET - Anwar
Kerajaan akan menyediakan dana tambahan kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mengadakan latihan kepada tenaga pengajar dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dana tambahan itu bertujuan membolehkan pensyarah TVET UniKL menjalani latihan selaras dengan keperluan industri.
“Pada mulanya, rancangan ini adalah untuk tahun depan tetapi saya mahu perkara tersebut dipercepatkan dalam masa yang singkat ini.
“Saya akan minta syarikat Geely dan Petronas untuk bekerjasama dengan UniKL dan mengadakan program khas kepada pensyarah TVET,” ujarnya dalam sesi Bual Bicara Komuniti TVET sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW); Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Anwar berkata, terdapat lebih 400 institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) manakala 250 institusi di bawah KKDW.
Jemaah menteri juga telah memutuskan untuk tidak menghalang mana-mana syarikat yang berhasrat mengambil alih institusi TVET dengan syarat mereka memberikan latihan lebih baik.
Menurut Anwar, Petronas telah diminta mengambil alih institusi TVET di Pengerang, Johor dan Batu Rakit di Terengganu manakala Perodua di Pekan, Pahang.
“Saya difahamkan Petronas telah memberikan latihan TVET dan sudah tentu yang bekerja dengan Petronas akan menerima gaji lebih RM3,000,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.8 bilion untuk institusi TVET di seluruh negara dalam usaha meningkatkan keupayaan lepasan TVET selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Kalau keupayaan tenaga kerja dapat ditingkatkan, syarikat antarabangsa seperti Tesla dan Geely berjanji akan memberikan gaji RM2,500 hingga RM3,000 kepada lepasan TVET kita.
“Ini janji mereka ketika mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan,” tuturnya lanjut.