Belakang Kiri ke Kanan - Dr. Oh Wen Da & Dr. Goh Choon Fu. Depan Kiri ke Kanan - Dr. Low May Lee, Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman, Dr. Enis Nadia Md Yusof & Dr. Sazlinda Kamaruzaman
Belakang Kiri ke Kanan - Dr. Oh Wen Da & Dr. Goh Choon Fu. Depan Kiri ke Kanan - Dr. Low May Lee, Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman, Dr. Enis Nadia Md Yusof & Dr. Sazlinda Kamaruzaman

Enam saintis muda wakil Malaysia di mesyuarat Nobel Laureate ke-71

Adlan Farhan Azwan
27 Jun 2022 03:26pm
A
A
A

Dalam usaha untuk kekal berdaya saing dalam dunia sains hari ini, enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam mesyuarat Nobel Laureate ke-71 yang berlangsung di Lindau, Jerman bermula Ahad sehingga 1 Julai ini.

Mereka terdiri daripada Dr Enis Nadia Md Yusof, Dr Goh Choon Fu, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman, Dr Oh Wen Da dari Universiti Sains Malaysia (USM); Dr Sazlinda Kamaruzaman, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dr Low May Lee dari International Medical University Malaysia (IMU).

Kira-kira 600 saintis muda dari seluruh dunia akan turut serta dalam mesyuarat yang kini diadakan secara fizikal selepas tahun 2021 yang dilakukan secara dalam talian.

Menurut Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail FASc, mesyuarat Nobel Laureate ini adalah satu platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.

“Selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini juga mendedahkan mereka kepada contoh teladan saintis serta memperkenalkan penyelidikan saintis kita kepada para pemenang dan seterusnya membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah beliau, Mesyuarat Nobel ke-71 ini didedikasikan untuk bidang kimia yang dianggarkan sejumlah 35 Pemenang Anugerah Nobel akan menyertai mesyuarat ini dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

“Malaysia menerusi ASM telah menghantar 81 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat ini sejak tahun 2004.

“Setiap tahun, pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel ini dibuka kepada semua saintis muda institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dikendalikan oleh agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu ASM,” ujarnya lanjut.

Artikel berkaitan

Eksperimen sains mudah dan menyeronokkan, murid boleh cuba di rumah nanti!

Program anjuran universiti tempatan berjaya pupuk minat pelajar terhadap STEM

Tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia, Norazah kini jadi inspirasi ahli akademik lain


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok