Beginilah situasi dua helikopter yang terbang rendah, berpusing sebelum terhempas di Lumut.
Beginilah situasi dua helikopter yang terbang rendah, berpusing sebelum terhempas di Lumut.

Fakta ringkas Helikopter Fennec dan HOM untuk rujukan guru, pelajar

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Apr 2024 03:29pm
A
A
A

Ajal, maut dan rezeki segalanya di tangan tuhan. Tiada siapa dapat menghalangnya jika ALLAH telah mentakdirkan sesuatu perkara itu berlaku dalam sekelip mata.

Begitulah yang dapat penulis katakan terhadap kejadian dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlanggar di ruang udara dan terjatuh di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pagi tadi.

Difahamkan, helikopter yang terlibat itu membabitkan jenis AS 555 SN (Fennec) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).

Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi definisi helikopter dan info ringkas dua jenis helikopter yang terbabit dalam nahas berkenaan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, helikopter bermaksud pesawat terbang yang mempunyai baling-baling di atasnya dan boleh turun dan naik secara menegak.

Manakala menurut Wikipedia, helikopter ialah sejenis pesawat udara yang diangkat dan didorong menggunakan satu atau lebih pemutar mendatar. Ia telah dikelaskan sebagai pesawat sayap putar untuk membezakannya dengan pesawat sayap kaku yang biasa.

Sambung Wikipedia lagi, perkataan helikopter berasal daripada gabungan perkataan Yunani, heliks dan pteron (sayap).

Helikopter TLDM jenis AS 555 SN Fennec. (Laman Web Pusat Strategi Maritim TLDM)
Helikopter TLDM jenis AS 555 SN Fennec. (Laman Web Pusat Strategi Maritim TLDM)

Artikel Berkaitan:

Helikopter pemutar tunggal serta terkawal penuh yang dikeluarkan secara besar-besaran buat pertama kali, dibina oleh Igor Sikorsky pada tahun 1942.

Berkongsi tentang helikopter yang terlibat dalam nahas di TLDM Lumut pula, helikopter jenis Fennec yang dikendalikan Skuadron 502 dibina oleh Eurocopter, Perancis, menurut laman web Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS).

Ia dilancarkan pada 9 Ogos 2004 oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Panjang helikopter Fennec itu ialah 10.93 meter manakala lebarnya 2.28 meter boleh memuatkan tiga kru.

Laman web sama turut memaklumkan yang kelajuannya adalah 150 knots dengan sesaran adalah 5.3 meter.

Helikopter TLDM jenis HOM-AW139. (Defence Security Asia)
Helikopter TLDM jenis HOM-AW139. (Defence Security Asia)

Bagi helikopter jenis HOM-AW139 yang dikendalikan Skuadron 503, ia merupakan pesawat penerbangan TLDM yang digunakan untuk Pasukan Helikopter Maritim (HOM).

HOM-AW139 buatan Leonardo Helicopter, Itali itu dijadikan aset TLDM bagi memperkukuh kekuatan maritim Armada Timur di dalam mempertahankan kedaulatan wilayah maritim negara.

Ia bagi menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta penculikan dengan tebusan yang berlaku di perairan Sabah.

Jumlah kru yang boleh ditempatkan dalam helikopter itu adalah empat kru dengan kelajuan maksimumnya adalah 167 knots, manakala kelajuan standard, 130 knots.

Durasi penerbangannya adalah sekitar empat jam, dengan jarak (bagi satu penerbangan) adalah 550 batu nautika.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok