Graduan TVET tidak cukup!
Negara hanya hasilkan 20 peratus graduan teknologi tinggi
Malaysia perlu melahirkan sekurang-kurangnya 70 peratus graduan bidang teknologi tinggi menerusi institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi keperluan industri.
Naib Canselor Universiti Antarabangsa Unitar, Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, angka tersebut sepatutnya dicapai lima tahun lalu namun ia tidak berlaku.
Menurut pakar dalam pelbagai bidang kejuruteraan termasuk awam, pengurusan banjir, hidrologi dan persekitaran itu, ketika ini negara hanya merekodkan kira-kira 20 peratus graduan TVET teknologi tinggi melalui pelbagai program.
Tambah beliau, antara tenaga mahir teknologi tinggi yang semakin menjadi keperluan ialah kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik dan kimpalan.
“Di Malaysia ketika ini kita masih lagi ghairah dengan universiti dan ada universiti yang terlalu tumpukan kepada penyelidikan.
“Tidak salah sebenarnya tapi cukuplah diwujudkan beberapa universiti tertentu yang memfokuskan kepada bidang tersebut, bukannya semua terikut-ikut untuk membuat benda sama. Tidak dinafikan memperoleh ijazah juga penting tapi keperluan untuk itu tidak begitu tinggi.
“Jadi, kita perlu sedar bahawa dunia sudah berubah sekarang ini yang mana keperluan sekarang ialah lebih kepada TVET dan juga kemahiran,” katanya kepada Sinar Harian.
Sahol Hamid yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) menambah, langkah kerajaan untuk menggubal akta gaji khusus bagi lepasan tersebut dengan sasaran penggajian lebih tinggi daripada kadar gaji minimum iaitu RM4,000 ke atas sebulan juga mampu menarik lebih ramai penyertaan.
Pada Februari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mencadangkan kerajaan membenarkan graduan asing institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara di negara ini dalam bidang tertentu seperti sektor teknologi tinggi kerana graduan tempatan tidak mencukupi.
Sebagai contoh, Tengku Zafrul berkata, industri elektrik dan elektronik memerlukan 50,000 jurutera, namun IPT tempatan cuma mengeluarkan 5,000 graduan setahun.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kedah, Rosli Idris berkata, kerajaan perlu menyediakan peruntukan lebih besar untuk peralatan serta penggantian alat pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedia ada sebagai langkah memperkasa institusi TVET khususnya kursus berteknologi tinggi.
“Penyelenggaraan pendingin hawa, peralatan makmal atau bengkel dan lain-lain yang berkaitan dengan fasiliti PdP perlu diberi keutamaan supaya suasana pembelajaran di institusi TVET lebih kondusif dan efektif,” katanya.
Tambah beliau, institusi TVET terutama Politeknik dan Kolej Komuniti sentiasa bersedia dengan kursus berteknologi tinggi termasuk menghantar pensyarah dan tenaga pengajar menjalani kursus kemahiran tinggi yang diperlukan industri.