Fadhlina ketika meninjau hari pertama persekolahan sesi akademik 2025/2026 di SK Taman Pelangi Semenyih pada Isnin.
Fadhlina ketika meninjau hari pertama persekolahan sesi akademik 2025/2026 di SK Taman Pelangi Semenyih pada Isnin.

Hantar anak ke tuisyen, ‘Itu terpulang kepada mereka’

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
17 Feb 2025 05:05pm

Keputusan ibu bapa untuk menghantar anak ke kelas tuisyen untuk mengikuti pembelajaran tambahan adalah pilihan peribadi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum yang disediakan di sekolah adalah mencukupi mengikut piawaian kebangsaan dan mampu memenuhi keperluan akademik pelajar.

Katanya, pihak kementerian itu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ibu bapa ingin memberi sokongan tambahan kepada anak-anak.

“Mengenai isu ibu bapa menghantar anak ke tuisyen, itu adalah pilihan peribadi. Kurikulum yang disediakan di sekolah adalah mencukupi mengikut piawaian kebangsaan.

“Sekiranya ibu bapa ingin memberi sokongan tambahan, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sesi persekolahan ketika bulan Ramadan, Fadlina menjawab, setakat ini tiada perubahan dalam jadual seperti yang ditetapkan dalam garis panduan sedia ada.

“Pelajar akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

“Semua pihak dinasihatkan untuk merujuk dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan untuk bulan Ramadan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melawat SK Taman Pelangi Semenyih sempena hari pertama persekolahan sesi akademik 2025/2026 pada Isnin.
Fadhlina dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melawat SK Taman Pelangi Semenyih sempena hari pertama persekolahan sesi akademik 2025/2026 pada Isnin.



Dalam pada itu, Fadhlina turut mengulas isu ketidakhadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bahawa terdapat peningkatan positif hasil daripada pelbagai intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan.

“Terdapat penurunan ketara dalam ketidakhadiran pelajar SPM daripada 10,000 kepada 8,000 orang pada tahun lepas.

“Ini hasil daripada pelbagai intervensi seperti program Ziarah Cakna, pengesanan awal keciciran dan sokongan komuniti.

“Kami berharap kehadiran pada tahun ini akan terus meningkat dengan penguatkuasaan dasar pendidikan wajib,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp