No Image Caption

Hilangkan pendengaran remaja, 5 pembuli dan 4 pihak lain diperintah bayar ganti rugi RM616,634.20

17 Oct 2023 05:18pm



Lima bekas pelajar Tingkatan Lima dan empat pihak lain menanggung akibat setelah diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini untuk membayar ganti rugi kerana mengakibatkan kehilangan pendengaran terhadap seorang remaja lelaki semasa dia berusia 14 tahun pada tahun 2015.

Panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memutuskan bahawa sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa yang kini telah pun berusia 22 tahun.

Sembilan pihak terbabit ialah lima bekas pelajar Tingkatan Lima sebagai defendan pertama hingga kelima (kini berumur 25 tahun), Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM, defendan keenam), pengetua (ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM) (kelapan) dan Kerajaan Malaysia (kesembilan).

Kejadian pukul, buli dan serangan itu berlaku di bilik ketua pengawas sebuah sekolah menengah sains di Terengganu pada 26 April 2015 lalu.

Semasa prosiding kes yang dijalankan secara dalam talian, mahkamah memutuskan Ketua Pengarah KPM dan kerajaan bertanggung jawab secara vikarius akibat kecuaian warden, PKHEM dan pengetua.

Susulan itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mangsa ketika kejadian belajar di Tingkatan Dua, menfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya, terhadap sembilan defendan tersebut menerusi Peguamcara Tetuan WA Wan Adnan & Associates.

Berdasarkan tuntutan, mangsa mendakwa telah dipukul, dibuli dan diserang oleh lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah, mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Artikel Berkaitan:


Plaintif juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati, semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan itu juga menetapkan bahawa defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas terhadap pelajar.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggungjawabkan atas tuntutan plaintif.

Dalam kes itu, plaintif diwakili peguam, Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Sementara itu, Wan Azliana yang juga Ketua Gerakan Anti Buli berkata, kes terbabit merupakan kemenangan untuk anak guamnya termasuk semua mangsa kejadian buli di seluruh Malaysia.

"Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran dan bertindak sebagai deterrent (pencegahan) bagi kes-kes buli yang lain," ujarnya.

Pada 29 September 2021, media melaporkan sembilan pihak termasuk lima pembuli, PKHEM dan bekas pengetua sebuah sekolah menengah sains diarah membayar tuntutan sebanyak RM616,634.20 kepada mangsa.

Kesemua sembilan individu itu didapati bersalah menyebabkan kecederaan, tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas kepada remaja terbabit.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp