isu-isu melibatkan guru bermasalah tidak menggambarkan secara keseluruhan golongan berkenaan di negara ini.
Kredit foto: Freepik
isu-isu melibatkan guru bermasalah tidak menggambarkan secara keseluruhan golongan berkenaan di negara ini. Kredit foto: Freepik

Isu guru bermasalah: Masih terdapat guru jalankan khidmat dengan baik – Anwar Ibrahim

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
28 Jul 2023 10:31am

Sejak kebelakangan ini, isu yang ditimbulkan oleh guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) menjadi perhatian netizen terutamanya ibu bapa.

Walaupun yang membuat onar hanyalah seorang dua tetapi ia ibarat nila setitik rosak susu sebelanga dan pastinya memberi imej buruk kepada seluruh warga pendidik.

Hakikatnya masih ramai pendidik bertungkus-lumus memberikan yang terbaik buat semua pelajar demi masa depan negara.

Melihat kepada permasalahan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu-isu melibatkan guru yang bermasalah tidak menggambarkan secara keseluruhan golongan berkenaan di negara ini memandangkan majoritinya berjaya menjalankan tugas serta khidmat dengan baik.

Beliau menekankan, perkara tersebut juga perlu mendapat liputan lebih adil khususnya oleh para media.

“Kadangkala kita tengok dalam media dan media sosial, dalam ramai-ramai guru memang ada seorang atau dua yang garang atau kasar sangat sehingga pelajar takut mahu pergi ke sekolah tetapi ia tidaklah mewakili ratusan ribu guru lain.

“Oleh itu, saya masih menekankan liputan media harus adil memandangkan majoriti guru itu berjaya. Saya masih ingat lagi pengalaman saya dengan puluhan guru dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam dan kemudiannya di Universiti Malaya (UM).

“Mungkin ada satu, dua guru bermasalah tetapi keseluruhan guru sangat baik dan berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan kerajaan akan sentiasa memberi keutamaan aspek pendidikan kerana berpandangan bidang lain seperti ekonomi, kemampanan, ihsan dan rahmah adalah asasnya dari bidang berkenaan.

Bukan itu sahaja, pihaknya juga akan memastikan tandas rosak dan kemudahan asas lain di sekolah seluruh negara dapat diselesaikan sebelum Disember tahun ini.

“Untuk tahun ini sahaja peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM1.4 bilion. Saya mahu tindakan segera, percepatkan tender dan saya juga akan panggil semua pegawai daerah dari seluruh negara untuk berikan tumpuan kepada sekolah.

“Kalau tidak boleh cepatkan, serahkan wang kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tetapi sebelum Disember tahun ini saya tidak mahu satu sekolah pun ada masalah tandas dan kemudahan asas,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp