
Iylia Balqis, pelajar Sarjana Pengajian Etnik UKM yang cekal menabur bakti buat insan lain!
Di sebalik wajah lembut dan senyumannya yang menenangkan, tersimpan semangat luar biasa seorang gadis muda bernama Iylia Balqis Suhaimi, pelajar Sarjana Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Namanya mula menjadi sebutan apabila beliau antara 23 sukarelawan Malaysia yang selamat pulang malam tadi, selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Keberanian dalam misi berisiko tinggi itu bukan sekadar tanggungjawab sementara, sebaliknya satu panggilan jiwa untuk terus membantu mereka yang tertindas.
"Mungkin beliau sedar risikonya besar, tetapi hatinya tetap tenang setiap kali dapat menyalurkan bantuan. Inilah cara dia berbakti kepada ummah," kongsi netizen di media sosial.

Berkongsi rekod pendidikan Iylia Balqis yang dipetik menerusi Facebook peribadi, penuntut ini pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam, Selangor sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al al-Bayt, Jordan, sebuah institusi terkenal dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab.
Kini, beliau meneruskan langkah akademiknya di peringkat Sarjana Pengajian Etnik di Institut Kajian Etnik (KITA-UKM).
Program ini menekankan pemahaman mendalam tentang isu-isu etnik, kemanusiaan dan dasar pembangunan sosial, selaras dengan misinya untuk memperjuangkan keadilan dan keharmonian sejagat.
Menurut laman rasmi KITA-UKM, program tersebut bertujuan melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam memahami dan menganalisis pelbagai isu etnik, di samping memperkukuh kefahaman sosial untuk diaplikasikan dalam konteks tempatan dan global.

Gigih bersama Cinta Syria Malaysia
Selain menjadi pelajar cemerlang, Iylia Balqis juga aktif dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Cinta Syria Malaysia (CSM).
Melalui platform ini, beliau menyertai pelbagai program bantuan kepada pelarian Syria termasuk pendidikan anak-anak pelarian dan misi bantuan kecemasan bagi mereka yang terkesan akibat konflik berpanjangan.
Keaktifannya dalam CSM membuktikan bahawa perjuangan kemanusiaan tidak berhenti pada sempadan negara.

Setiap usaha kecil, katanya, mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan orang lain.
Buat Iylia Balqis dan rakan-rakan aktivis kemanusiaan, doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa mengiringi perjuangan kalian.
Teruslah kuat, tabah dan istiqamah dalam misi mulia ini kerana dunia memerlukan lebih ramai insan berhati besar seperti anda.
Ringkasan AI
- Iylia Balqis Suhaimi adalah pelajar Sarjana Pengajian Etnik di UKM yang mempunyai semangat luar biasa dalam aktivisme kemanusiaan
- Beliau adalah antara 23 sukarelawan Malaysia yang selamat pulang setelah menyertai misi kemanusiaan ke Gaza
- Iylia Balqis pernah menuntut di SMK Seksyen 18, Shah Alam, dan Universiti Al al-Bayt, Jordan sebelum melanjut pelajaran di UKM
- Pelajar tersebut turut aktif dalam organisasi Cinta Syria Malaysia, terlibat dalam program bantuan pelarian Syria
- Keaktifannya menunjukkan perjuangan kemanusiaan yang melebihi sempadan negara dan mampu membawa perubahan besar