Jangan asyik salahkan dasar pendidikan - Pkharuddin
Pelaksana dasar sistem pendidikan peringkat sekolah, daerah dan negeri sangat penting dalam mengangkat kualiti serta memantapkan sistem sedia ada.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri, sistem yang dibangunkan sudah sedia mantap kerana ia dihasilkan dengan sangat teliti selain mengalami proses yang lengkap.
Pkharuddin turut menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mempersoalkan kualiti sistem pendidikan negara apabila semakin ramai ibu bapa mula menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan berbanding sekolah harian biasa.
Tegasnya, sistem yang dibangunkan oleh KPM itu sudah dijalankan dan para pelaksana perlu bijak menterjemah sesuatu dasar agar ia memberi impak kepada pelajar dan membuka mata ibu bapa akan kualiti sesebuah sekolah.
“Sistem pendidikan KPM ini sudah dijalankan dan ia bergantung kepada pelaksana sendiri bagaimana cara untuk membangunkan ia di sekolah-sekolah.
“Di sinilah, penentu ibu bapa atau penjaga tentang sistem mana yang ingin mereka ikuti. Contohnya, ibu bapa yang melihat keberkesanan sesebuah pusat tahfiz dan memang keperluan keluarga itu untuk menerapkan anak-anak akan nilai agama, maka mereka menghantar ke pusat itu,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Beliau turut memberitahu, keperluan masyarakat antara penentu sekolah anak-anak melihat kepada kejayaan pelaksana sekolah dan guru-guru dalam mengusahakan sistem yang telah dibangunkan kerajaan.
“Saya di Yayasan Guru Tun Hussien Onn, ada membantu anak-anak murid Orang Asli yang sering dikaitkan dengan isu keciciran pelajaran dan kehadiran merosot.
“Namun dengan adanya guru yang sedia membimbing, mereka ini mampu meraih kejayaan sama seperti orang lain dan ia dapat dilihat apabila seorang murid Orang Asli, Amir Sisi yang diangkat sebagai juara dalam program The Chosen One.
“Ini membuktikan, kejayaan anak ini tidak mungkin dicapai tanpa guru yang bertungkus-lumus membimbing dan menterjemahkan sistem pendidikan dengan baik,” katanya lagi.