Jangan sesekali perlekehkan bidang kemahiran
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru sahaja diumumkan pada Isnin.
Yang mendapat keputusan cemerlang, pastinya sedang bergembira bersama keluarga namun yang tidak memperoleh keputusan diinginkan, janganlah cepat berputus asa. Sesungguhnya, perjalanan pengajian anda masih lagi jauh.
Dalam memilih jurusan yang sejajar dengan kemahiran dan minat, ramai lepasan SPM berhadapan masalah untuk membuat pilihan.
Ada yang ingin mengikuti pelbagai program pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan tak kurang juga memohon bidang kemahiran.
Guru Fizik Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), Cikg Nini Hamdan menerusi perkongsian di Facebook berkata, jurusan pengajian kemahiran pada masa kini cukup penting untuk dikuasai.
“Dulu, orang agak skeptikal tentang bidang kemahiran.
“Kata mereka, bidang ini adalah untuk pelajar yang berada di kelas belakang.
“Namun kini, keperluan industri dan kemahiran melakukan kerja beserta kebolehan untuk membuat laporan berkaitan dengan skop kerjaya sangat penting sekarang,” catatnya di laman sosial tersebut.
Tulis beliau, pengajian dalam kemahiran bukanlah pilihan utama suatu ketika dahulu.
“Saya dulu diasak dengan pemikiran sebegini. Cikgu dah pesan siap-siap, masuk matrikulasi dan kemudian terus ke universiti.
“Betul, tak ada salah pun, cuma penafian bidang teknikal kepada pelajar agak merugikan terutama waktu ini.
“Dulu, bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memang hanya mendapat tempat bagi pelajar yang orang kata nak terus kerja. Sijil pun dah cukup bagi mereka.
“Kini, tidak lagi. Keperluan industri, kemahiran melakukan kerja beserta kebolehan untuk membuat laporan berkaitan dengan skop kerjaya adalah sangat penting,” tuturnya lagi.
Memandangkan TVET makin dikenali dan menjadi pilihan utama, Cikgu Nini berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menubuhkan Universiti TVET pertama mereka yang dijenamakan sebagai Universiti Kuala Lumpur - UniKL.
“Kami menerima pelajar dari bidang kejuruteraan teknologi yang berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) atau diploma yang diiktiraf Malaysian Qualification Agency (MQA) / Engineering Technology Accreditation Council (ETAC). Pelajar dari SPM juga sentiasa mendapat di hati kami.
“Pelajar diberikan peluang kedua, bagi yang dulunya agak lemah dalam sistem pembelajaran berteraskan 'satu untuk semua' iaitu faham atau tidak, belajarlah subjek dan topik yang sama.
“Pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang cemerlang, juga menyertai kemasukan ke institusi-institusi di bawah Institusi Pendidikan Mara (IPMa). Pendedahan demi pendedahan kepentingan kemahiran semakin mendapat tempat di hati pelajar,” ujarnya.
Akhir sekali, Cikgu Nini menasihatkan para pelajar agar menggunakan peluang sebaik mungkin pada saat ini.
“Anda mungkin orang yang ditangguhkan kejayaan dan kecemerlangan sebab ALLAH nak anda belajar erti tenang dan kesabaran,” ujarnya.