Tangkap layar membabitkan hantaran yang tular di media sosial melibatkan kantin sekolah menengah di Kota Kinabalu didakwa menyediakan makanan tidak bersih dan basi.
Tangkap layar membabitkan hantaran yang tular di media sosial melibatkan kantin sekolah menengah di Kota Kinabalu didakwa menyediakan makanan tidak bersih dan basi.

JPNS diminta beri penjelasan isu tular kantin sekolah jual makanan tidak bersih

ASYIKIN ASMIN
29 Apr 2024 11:00am
A
A
A

Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif akan mendapatkan penjelasan daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) berhubung isu tular yang mendakwa pihak kantin menjual makanan tidak bersih di sebuah sekolah menengah di bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, isu kebersihan membabitkan makanan yang disediakan di sekolah amat diberi perhatian kerana ia melibatkan keselamatan murid dan pelajar di negeri ini.

"Saya ada membaca isu ini di media sosial dan saya akan panggil Pengarah Pendidikan untuk mendapatkan maklumat sebenar berhubung isu ini dan kita akan cari jalan menyelesaikannya.

"Isu ini sangat dekat di hati rakyat khususnya ibu bapa kerana ia berkaitan dengan anak-anak, jadi saya akan dapatkan maklumat dengan segera dan maklumkan kepada pihak media selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) di sini pada Ahad.

Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) di Kota Kinabalu.
Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) di Kota Kinabalu.

Diminta mengulas lanjut, Mohd Arifin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu membabitkan kebersihan di kantin atau makanan yang disediakan di asrama sekolah di negeri ini.

"Isu kebersihan ini sangat utama dan kita tidak boleh berkompromi dalam hal-hal yang turut melibatkan murid dan pelajar sekolah termasuk di asrama.

"Kita harus menjaga anak-anak kita bukan saja dari sudut pendidikan tetapi dari sudut makanan mereka harus dijaga dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, JPNS diminta untuk memastikan pengusaha kantin atau pemegang tender membekalkan makanan di asrama mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam penyediaan makanan kepada murid atau pelajar di sekolah masing-masing.

"Ini juga menjadi salah satu SOP dalam JPNS apabila mereka memberikan tanggungjawab kepada pihak-pihak berkenaan untuk membekalkan makanan masing-masing," katanya.

Sebelum itu, tular hantaran di laman sosial berhubung dakwaan sebuah kantin sekolah menyediakan makanan tidak bersih dan basi kepada pelajar di sebuah sekolah di bandar raya Kota Kinabalu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok