Kredit foto: Unsplash
Kredit foto: Unsplash

Kembali meningkat! Ini info penting yang wajib guru dan pelajar fahami tentang Covid-19

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Apr 2023 10:06am
A
A
A

Masyarakat mula melahirkan kebimbangan apabila terdapat laporan kes Covid -19 meningkat secara mendadak pada minggu epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, peningkatan kes itu disebabkan pembukaan semula sesi persekolahan baharu Mac lalu.

Katanya lagi, Covid-19 turut meningkat berikutan pergerakan orang ramai ketika musim cuti sekolah baru-baru ini.

Ekoran penularan kes jangkitan berkenaan, Sinar Bestari ingin berkongsi semula maklumat tentang Covid-19 dan bagaimana ia menjangkiti orang ramai.

Dengan info yang diberikan ini, diharapkan ia dapat membantu guru, pelajar dan ibu bapa serta orang ramai untuk lebih berhati-hati.

Menurut portal rasmi KKM, coronavirus adalah satu keluarga besar virus yang menyebabkan jangkitan saluran pernafasan seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) dan Middle East Respiratory Syndrome-related Coronavirus (MERS-CoV).

Coronavirus yang menjadi pandemik di seluruh dunia itu dikenali sebagai Novel Coronavirus 2019 (Covid-19).

Covid-19 mula dikesan di negara China dengan kes pertama disahkan pada 7 Januari 2020 di Wuhan, Hubei, China.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh tiga minggu seterusnya, kes-kes disahkan di Thailand, Nepal, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Perancis, Vietnam, Malaysia, Australia, Canada, Cambodia, Sri Lanka dan Jerman.

Penyakit berbahaya itu menyerang manusia dengan cara yang berbeza.

Simptom-simptom virus ini seperti demam, batuk kering dan keletihan manakala simptom serius adalah sukar bernafas atau nafas pendek, sakit dada atau terasa tertekan di bahagian dada dan pergerakan yang terhad.

Bagi warga emas, kanak-kanak dan penghidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, diabetes, masalah pernafasan yang kronik dan kanser adalah berisiko tinggi untuk terkena jangkitan.

Covid-19 berjangkit melalui tranmisi zarah pernafasan manusia dan sentuhan.

Apabila berada dalam jarak yang dekat dengan pesakit yang mempunyai simptom, transmisi zarah akan mudah berlaku apabila mulut dan hidung mereka terdedah.

Transmisi zarah juga akan mudah berlaku di kawasan sekeliling pesakit.

Terdapat beberapa cara pencegahan yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melambatkan transmisi Covid-19 iaitu

1) Basuh tangan menggunakan sabun atau pencuci tangan dengan kerap.

2) Kekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter daripada orang yang dijangkiti batuk atau selsema.

3) Kurangkan meletakkan tangan di kawasan muka.

4) Tutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin.

5) Duduk di rumah jika berasa tidak sihat.

6) Kurangkan merokok atau aktiviti lain yang melemahkan jantung.

7) Amalkan penjarakkan bagi mengelakkan berada dalam kumpulan orang yang ramai atau sesak.

8) Sentiasa amalkan kebersihan diri dan segera berjumpa doktor jika berasa kurang sihat atau mengalami simptom-simptom jangkitan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok