Tangkap layar sedutan video Maha Lakshimi menyuap makanan kepada Hanisah.
Tangkap layar sedutan video Maha Lakshimi menyuap makanan kepada Hanisah.

Ringan tulang bantu guru dan rakan, pujian buat Maha Lakshmi

AZLEENDA SAHALUDIN
30 Nov 2023 02:57pm
A
A
A

Sudah menjadi tuntutan bagi setiap manusia untuk sentiasa berbuat baik kepada sesiapa pun tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.

Walaupun mempunyai latar belakang berbeza, namun setiap kebaikan yang dilakukan akan diingati dan dikenang sampai bila-bila.

Melihat kepada perkara ini, ia dapat dilihat menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok oleh Pembantu Murid Pendidikan Khas (PPM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Azizah Hazedi yang memaparkan seorang murid kaum India sedang menyuap makanan kepada rakannya semasa waktu rehat.

Difahamkan, Maha Lakshmi Mariapan membantu rakannya itu yang mengidap sindrom down serta mempunyai masalah rabun sehingga membuatkan dia makan agak lambat.

Maha Lakshimi ketika dihubungi Sinar Bestari berkata, dia gembira melihat video dia dan rakannya, Hanisah Farzia kembali tular di media sosial walaupun ia sudah dikongsikan pada tahun lepas.

“Saya melihat video itu dikongsi semula oleh Astro Ulagam dan mendapat lebih kurang tontonan berjumlah 45,000.

“Saya agak terkejut melihat ia semakin mendapat perhatian ramai dan gembira kerana rata-rata mereka yang menonton video itu memberi komen positif serta menyukainya,” katanya kepada Sinar Bestari.

Sementara itu, menurut Cikgu Azizah, Maha Lakshimi sememangnya seorang pelajar yang terkenal dengan sikap ringan tulang dalam membantu memudahkan urusan guru dan rakan-rakan di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Maha Lakshimi (tiga dari kiri) bersama Hanisah (dua dari kiri) ketika sesi lawatan sekolah.
Maha Lakshimi (tiga dari kiri) bersama Hanisah (dua dari kiri) ketika sesi lawatan sekolah.

Katanya, pelajar India itu sering menjaga kebajikan rakan pendidikan khas lain sama ada ketika di sekolah atau sewaktu lawatan sekolah ke tempat luar.

“Maha Lakshimi ini walaupun dia sendiri seorang pelajar pendidikan khas bagi kategori orang kurang upaya (OKU) lembam, tetapi dia antara pelajar yang sangat rajin membantu kami sepanjang di sekolah.

“Lihat sahaja menerusi video perkongsian saya, dia memang baik dan rajin bantu rakannya dengan menyuap makanan kerana dia tahu Hanisah mempunyai masalah rabun yang menyukarkan dia makan cepat,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Cikgu Azizah memberitahu, nilai positif untuk sentiasa berbuat baik sesama manusia antara elemen yang diterapkan kepada pelajar sekolah khususnya pendidikan khas ini.

Ini kerana katanya, ia dapat merapatkan jurang yang ada antara mereka dan menjadikan mereka semakin rapat serta saling membantu antara satu lain.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok