Kemurungan tidak halang Siti Bayu raih 9A SPM 2023
Masalah kemurungan yang dihadapi sejak 2019, tidak menjadi penghalang kepada Siti Bayu Mohd Ridzuan,18, untuk meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan pada Isnin.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia tidak menyangka memperoleh kesemua A dalam mata pelajaran yang diambil memandangkan keputusan peperiksaan percubaan SPM sebelum ini hanya 8A dan 1C.
Menurutnya, tekad untuk mengubah keputusan peperiksaan percubaan itu selain dorongan daripada ibu Che Zusila Che Daud, 49 dan bapa Mohd Ridzuan Mokhtar, 63, serta guru ternyata membuahkan hasil cukup membanggakan.
"Walaupun saya menghadapi masalah kemurungan hingga perlu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), usaha yang tidak kenal putus asa membolehkan saya meraih kejayaan seperti orang lain.
"Antara yang saya lakukan ialah menjaga tahap kesihatan mental dengan memastikan saya mendapat tidur yang cukup sekitar tujuh jam sehari, selain buat ulang kaji seawal 4 pagi dalam tempoh sebulan sebelum menduduki SPM," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kedai Baru, Binjai.
Bercerita lanjut, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia juga mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan nota untuk ulang kaji pelajarannya agar bersesuaian dengan masalah kesihatan yang dihadapi sekali gus mengelak berlaku gangguan emosi dan tekanan ketika sedang belajar.
"Ketika menulis nota ringkas subjek yang dipelajari, saya akan menggunakan pen dakwat merah dan warna-warni supaya mudah ingat dan fokus.
"Selain itu, saya juga akan minum air mineral sekurang-kurangnya dua liter sehari dan tidak minum air berkafein kerana khuatir akan sakit kepala," katanya.
Siti Bayu yang sejak kecil bercita-cita menjadi peguam berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) atau ke luar negara khususnya United Kingdom (UK).
"Saya ingin ucap terima kasih kepada semua guru, ibu bapa dan doktor yang menjaga serta merawat saya ketika menerima rawatan di HRPZ II," katanya.