
Keputusan kemasukan Program Matrikulasi KPM sesi 2025/2026 boleh disemak mulai 21 Mei
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa semakan keputusan calon jaya bagi kemasukan ke Program Matrikulasi KPM sesi 2025/2026 boleh dibuat mulai 21 Mei, bersamaan hari Rabu.
Kenyataan rasmi KPM memaklumkan, semakan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman sesawang Bahagian Matrikulasi KPM di pautan https://matrikulasi.moe.gov.my.
"Bagi pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat dalam pengambilan pertama, mereka masih berpeluang mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian menerusi laman web yang sama iaitu https://matrikulasi.moe.gov.my.
"Tempoh rayuan dibuka 21 Mei hingga 21 Jun dan keputusan rayuan akan diumumkan 30 Jun depan," maklum KPM.
KPM berkata, pendaftaran secara dalam talian dibuka mulai 22 Mei hingga 21 Jun nanti di laman sesawang kolej masing-masing.
"Pelajar perlu mendaftar secara fizikal di kolej matrikulasi mulai 22 Jun 2025 berdasarkan surat tawaran masing-masing," kata kenyataan sama.