Fadhlina (tengah) memeluk salah seorang pelajar SMK (M) Convent Kajang yang meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2024.
Fadhlina (tengah) memeluk salah seorang pelajar SMK (M) Convent Kajang yang meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2024.

Keputusan SPM 2024 membanggakan, Fadhlina minta pelajar sambung belajar ke peringkat seterusnya

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
24 Apr 2025 01:56pm

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pagi ini membawa khabar gembira buat seluruh warga pendidikan tanah air.

Menerusi pencapaian cemerlang yang ditunjukkan, jelas terpancar usaha gigih pelajar, sokongan guru serta peranan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan masing-masing.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut melahirkan rasa bangga dan menyifatkan keputusan tahun ini yang terbaik sekali gus meraikan semua pelajar yang menerima keputusan berkenaan.

Beliau turut meminta pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi walau apa pun keputusan yang diperoleh masing-masing.

"Kita kena ingat, apa sahaja keputusan mereka ini menyumbang kepada gred purata sekolah, daerah dan negeri.

"Jadi keputusan-keputusan mereka ini sangat penting dan kita harap seperti yang saya sebut tadi, mereka mesti sambung pelajaran tidak kira apa pun keputusan mereka.

"Justeru, saya ucapkan tahniah kepada anak-anak, guru-guru, ibu bapa dan seluruh ahli masyarakat yang memberikan sokongan kepada anak-anak kita," katanya ketika membuat tinjauan penyerahan keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Methodist) Convent Kajang, Selangor pada Khamis.

Meskipun keputusan itu disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mengambil langkah penting bagi menambah baik corak pendidikan di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina berkata, ia berkaitan segmen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi pelajar.

Antara segmen yang akan terus diberi tumpuan ialah kehadiran calon peperiksaan dan merapatkan lagi jurang keputusan antara bandar dengan luar bandar.

"Kehadiran (calon) ialah antara (penambahbaikan) yang cukup signifikan. Intervensi yang kita lakukan sedikit sebanyak dapat mengurangkan (ketidakhadiran), begitu juga jurang (keputusan) dapat dilihat secara signifikan dan kita akan teruskan.

"Tahun lalu, kita juga mengambil langkah intervensi bagi memastikan kelulusan terus meningkat untuk anak-anak ini layak mendapat sijil membabitkan dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

"Kita berjaya pada tahun ini, maknanya yang layak mendapat sijil juga meningkat. Oleh itu, saya fikir ada banyak segmen untuk ditambah baik dan kita mengambil serius perkara ini bagi memastikan keputusan akan datang lebih baik," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp