Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

Keputusan SPM 2024 permulaan ke peringkat kehidupan seterusnya

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
24 Apr 2025 06:35pm

Setiap helaian slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sekadar mencatat huruf dan angka, ia merupakan cerminan usaha, air mata, doa, dan pengorbanan bertahun-tahun lamanya.

Bagi ribuan pelajar di seluruh negara, keputusan SPM 2024 menjadi pintu masuk kepada pelbagai laluan masa hadapan sama ada ke universiti, institut kemahiran atau terus melangkah ke dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walau apa pun keputusan yang diperoleh, ia adalah permulaan langkah bagi calon ke peringkat kehidupan seterusnya yang akan mencorak masa depan, termasuk jika memilih untuk menyertai dunia pekerjaan.

Beliau menyifatkan keputusan berkenaan amat membanggakan, ia merupakan edikasi pelajar yang berusaha mencapai keputusan cemerlang tanpa berputus asa beserta pengorbanan dan sokongan berterusan daripada ibu bapa serta pendidik.

"Tahniah kepada semua calon SPM 2024. Gunakan peluang yang terbentang untuk memilih laluan yang selari dengan minat dan potensi anda.

"Saya percaya andalah generasi pelakar perubahan, yang akan membina Malaysia yang lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain laluan akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), kerajaan turut menyediakan jalur pendidikan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini diiktiraf sebagai pemacu utama pembangunan negara.

"TVET bukan saja berperanan memperkasa modal insan, tetapi juga membina asas kukuh kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang bergantung kepada tenaga kerja mahir dan kompeten.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya komited untuk memastikan agenda TVET diangkat sebagai salah satu aliran pendidikan utama, bukan sekadar pilihan alternatif bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.

"Kini, kita menyediakan saluran Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) sebagai platform rasmi bagi memohon dan melanjutkan pengajian dalam bidang ini," katanya.

Ahmad Zahid turut meluahkan rasa bangga apabila pencapaian seramai 7,560 calon SPM daripada 55 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Gred purata (GP) oleh calon SPM daripada MRSM telah meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun lalu.

Selain itu, seramai 1670 daripada 7650 pelajar MRSM iaitu 21.83 peratus memperoleh gred semua A (A+,A dan A-).

Tambah Ahmad Zahid, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 1131 pelajar pada SPM 2023.

“Pada tahun 2023 pula, seramai 50 calon MRSM memperoleh keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam semua subjek yang diambil, tahun ini pencapaian tersebut telah meningkat kepada 69 orang iaitu lapan calon memperoleh 10A+ dan 61 calon memperoleh 9A+,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp